Khamis, 2 Januari 2020

Trip jig 1/1/2020 Pembuka tirai!

Trip awal tahun yang agak berhasil bersama ahli trip yang telah lama tidak turun bersama kami. Jika dulu mereka ini kerap ke sangkar Pulau Ketam, kali ini ke paloh 1, laluan kapal. Memang agak jauh ke tengah dan lokasi ini biasanya tidak mempunyai isyarat telepon yang jelas.


Perjalanan dari pengkalan ke lokasi pancing memakan masa 1 jam 20 minit, dengan jarak hampir 30 kilometer. Faktor kuasa enjin yang kecil dan muatan, menyumbang kepada jumlah ini. Agak membosankan dan ahli trip sempat tidur merehatkan diri. Cabaran pertama yang harus ditempuh sepanjang trip ini.


Ketika tiba di lokasi, air sudah mula surut dengan arus perlahan. Jig yang dihulur disambut 2 ekor Ikan Merah dan arus mula berhenti. Masa sukar berlalu hampir setengah hari kemudian dan ikan mula rancak semula ketika arus kuat. Hasilnya Haruan Tasik yang disangka Mama Kerapu, tersangkut kemas dihujung kail. Ahli trip bernasib baik kerana menggunakan set PE 3 yang agak keras dan hasil berjaya didaratkan selepas beberapa lama berusaha.


Hasil terakhir berjaya dinaikkan sekitar jam 5 petang dan air mula pasang kembali. Seekor Ikan Kerapu dan 2 ekor Tebal Pipi menutup tirai trip kali ini. Oleh kerana jarak agak jauh dan masa panjang diperlukan, pergerakan pulang terpaksa diteruskan. Walaupun agak kecewa pulang tanpa "Bantal emas" yang dicari, hasil yang ada sudah memadai.