Walaupun angin kuat dan hujan pada sebelah petang, trip masih diteruskan. Cuma hasil yang diharap, tidak begitu memuaskan. Rezki di dalam air tidak siapa yang tahu. Kali ini encik Afzan dan rakan-rakannya saya bawakan ke sangkar ikan Pulau Ketam.
Cuaca pada sebelah pagi agak panas dan cerah. Manakala air pula perlahan dan jernih. Oleh kerana tiada ragutan kasar di kawasan biasa, kawasan cetek dimuara menjadi lokasi pilihan mencari spesis Bebolos untuk dijadikan umpan. Sudahnya Bebolos ini juga yang dibawa balik sebagai lauk.
Apa yang ada kita kutip dulu, yang kemudian usah dipikirkan. Tak dapat rotan, akar pun jadi. Jangan kita sibuk mencari yang belum tentu ada tetapi meninggalkan yang pasti ada, rugi nanti. Sebenarnya spesis ini lebih sedap dari Cencaru, cuma saiznya kecil. Tapi harganya boleh tahan. Ada segelintir pemancing yang cukup minat memancing spesis ni.
Spot biasa di sangkar hanya berisi spesis ini pada hari ini. Air surut yang masuk dari luar, diselangi dengan angin kencang sehingga bot melambung-lambung dibuatnya. Oleh kerana itu, menjadi keruh dan laju pula. Fenomena biasa kadangkala berlaku di sini. Tiada apa yang boleh dibuat, kecuali mencari lokasi lain yang sesuai.
Beberapa kali berpindah lokasi, tiada hasil berjaya dinaikkan. Cuaca mula berubah dibahagian darat. Awan hitam mula berarak ke arah kami. Sebagai langkah berjaga-jaga, bot dihalakan semula ke muara.
Dipendekkan cerita, itu saja hasil trip kali ini. Perjalanan pulang disulami kilat memancar di langit. Syukur kami berjaya selamat pulang ke pengkalan.