Lokasi pilihan pertama kami adalah buang peluru kecil. Kawasan ini mempunyai banyak batu karang kecil yang berjaya merampas beberapa jig besi kami. Penggunaan mata bawah memang mendatangkan masalah.
Saiz tangkapan di kawasan pertama ini agak kecil. Begitu juga pilihan jig yang berhasil adalah sekitar 60-80 gram sahaja. Jig besar tidak berhasil. Namun ada juga sambaran ganas yang gagal dibawa naik. Kebiasaannya hanya berjaya naik separuh perjalanan ke atas.
Jika melihat saiz tangkapan seperti ini, set ultra light rasanya lebih sesuai dengan syarat keadaan air perlahan dan jernih. Jika tidak, jig ringan yang dihulur mungkin tidak sampai atau lambat sampai ke dasar. Kedalaman air di sini adalah sekitar 30-40 meter, jika arus deras, tidak mungkin jig kecil boleh sampai ke bawah.
Cuaca begini adalah biasa di laut. Yang penting kita tahu cara melarikan diri dan mengelak dari sebarang masalah. Paling penting persediaan yang perlu kita tahu sebelum berlaku sesuatu.
Oleh kerana lokasi berhampiran kurang membuahkan hasil, trip kedua kami pergi lebih jauh ke tengah. Lokasi ini sudah hampir dengan laluan bebas perkapalan antarabangsa. Perjalanan mengambil masa lebih sejam dari pengkalan. Bekalan minyak yang perlu dibawa pula adalah 4 tong.
Di sini, jig yang boleh digunakan hanya melebihi 100 gram dengan kedalaman melebihi 40 meter. Jika spek peralatan tidak tepat, rasanya hanya penat saja yang akan diperolehi. Namun hasil di kawasan ini memang agak lumayan. Apalagi jika set jig yang digunakan sekitar PE 1.5 saja. Beberapa kali jig kami berjaya dibawa lari penghuni dasar.
Malangnya, jig besar melebihi 150 gram langsung tidak menarik perhatian penghuni disini. Mungkin disebabkan set jigging yang agak keras melebihi standart jig yang kami gunakan. Sudahnya hanya jig kecil saja yang berhasil. Cuaca darat yang buruk mula menghala ke laut dan kami terpaksa pulang awal. Sungguh pun begitu, hasil yang dibawa naik berjaya menjadi lauk seminggu di rumah kami!