Rabu, 18 Disember 2019

Port klang light jig

Cuaca mendung dan hujan menyambut kedatangan kami pada trip kali ini. Namun begitu trip tetap diteruskan selagi angin dan ombak masih dianggap selamat untuk ditempuh. Lokasi kali ini, masih lagi di laluan kapal antarabangsa. Walaupun jaraknya agak jauh, sedikit semangat dan keberanian mengatasi segalanya.


Keluar saja dari muara, hujan sudah mula turun di darat. Dari jauh kelihatan lokasi yang harus kami tuju sudah gelap dan hujan. Oleh itu, bot diubah arah ke lokasi lain sementara menunggu hujan reda. Lokasi pertama, buang peluru kecil. Sampai saja di lokasi, seekor Talang raya berjaya dinaikkan pada hanyutan pertama menggunakan umpan besi. Selain jig besi, pancingan dasar juga digunakan dengan menggunakan umpan udang lipan. Ada juga ragutan kasar yang berjaya melepaskan diri, walaupun sudah separuh air. Manakala jig besi pula sekadar disenggol manja beberapa kali.


Lebih kurang sejam selepas itu, hujan mula hilang. Dari jauh kelihatan sinaran mentari menerjah permukaan laut. Apa yang kami tunggu sebenarnya adalah waktu yang sesuai. Tidak guna jika sampai awal tetapi ikan belum lagi aktif. Rugi masa, umpan, minyak dan tenaga. Apalagi jika bukan piantan..

 
Pengiraan waktu yang tepat membolehkan bot dikemudi dengan tenang. Sampai di lokasi, air mula bergerak surut. Masa yang ada harus digunakan sepenuhnya. Hasilnya beberapa hasil baik berjaya dinaikkan. Namun begitu masih ada ragutan kasar yang tidak berjaya dibawa naik. Peralatan mungkin kurang sesuai atau memang ikan lebih bijak dari kami.


Melepasi waktu piantan, ikan sudah tidak sudi lagi memagut umpan kami. Apa yang boleh dibuat adalah beransur pulang dengan hasil yang sudah ada. Bersyukur dengan apa yang diberi untuk hari ini.