Selasa, 3 Januari 2017

Selamat datang 2017!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua peminat tegar blog pancingport.blogspot. Tahun 2016 yang begitu mencabar akhirnya berlalu dengan pelbagai suka duka untuk kenangan dan pengalaman bersama. Banyak maklumat dan trip yang berlangsung sepanjang tahun memberikan kami idea-idea baru untuk perancangan lain di masa hadapan.  



Walaupun situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun ini, aktiviti rekreasi sukan memancing masih lagi rancak dan berkembang di kawasan Port Klang ini. Kehadiran pemancing dari pelbagai generasi, sering kami lihat memenuhi spot-spot terbaik di sini. Dari kawasan tebing, hinggalah ke pulau-pulau dan laluan kapal perdagangan yang begitu sibuk dengan kapal-kapal besar. Saranan kami, berhati-hatilah ketika memancing di semua kawasan sibuk ini kerana kemalangan boleh berlaku di mana saja. Sentiasa ambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan kita bersama.



Untuk tahun baru 2017, pelbagai rancangan baru telah pun mula dijalankan bagi memantapkan perkhidmatan yang sedia ada khususnya dalam konservasi kawasan memancing di sini. Banyak kawasan berpontensi yang kami lihat boleh menghasilkan sesuatu jika kita sanggup berusaha memeliharanya. Janganlah kita menjadikan alasan, ini semua tidak mungkin berlaku. Anda sendiri faham apa yang kami maksudkan dan sekiranya anda masih tidak faham, berfikirlah lebih dalam supaya fikiran anda terbuka luas.



Akhir kata, bersamalah kita menjaga kawasan memancing walau di mana pun anda berada. Jaga diri dan alam sekitar untuk generasi akan datang. Kami dari krew pancingport.blogspot mengucapkan selamat tahun baru dan semoga ceria walau di mana anda berada. 

Selamat Tahun Baru 2017!