Selasa, 3 Januari 2017

Ops Tukun Pokok 1

Tukun pertama pembuka tirai 2017 berjaya kami siapkan dalam sehari. Menggunakan teknik lama angkat dan buang memang menjerihkan. Bahu sakit, kaki lenguh, paling wajib, luka-luka di jari. Pokok yang dipilih biasanya sudah bertahun di pinggir pantai dan berteritip.

 Antara salah satu pokok yang berpotensi dijadikan tukun..

 Banir pokok bakau yang berat dan sudah berteritip..

Pokok yang dipilih mestilah dari jenis yang berada di bawah tebing dan berhampiran dengan zon surut. Pokok yang sebegini mempunyai ketumpatan air dan membolehkan ia tenggelam tanpa di hanyutkan arus deras. Panjang melebihi 20 kaki dan perlu mempunyai ruang ketika jatuh ke dasar. Dengan kata lain, pokok ini akan memberikan ruang untuk ikan bermain dan berlindung.

 Pokok pilihan untuk projek kedua..

Mengikut kajian kami, pokok yang dijadikan tukun lebih berpotensi dari tukun konkrit kerana tempoh masa menunggu yang pendek dan lebih mesra alam, tanpa ada bahan kimia yang mengganggu pertumbuhan hidupan laut lain. Namun begitu jangkahayat tukun ini tidaklah begitu panjang berbanding tukun konvensional yang lain.

 
 Sedang kami sibuk mencari dan memilih pokok yang sesuai, air surut sudah mula ke paras maksima. Malangnya bot kami telah terdampar di atas lumpur tanpa kami sedari. Usaha menolak dengan kayu juga gagal dek kerana teritip sudah memenuhi bahagian bawah bot. Maka terpaksalah kami menunggu air pasang semula nanti. 

 Selesai mengumpul, kesemua bahan ini dibawa naik ke bot sambil menunggu air pasang semula. Setelah air mula pasang, kerja mengikat dan mencantum dilakukan supaya ia menjadi stuktur dan mempunyai ruang. Setelah selesai, barulah ia dibuang ke laut semula. Projek berjalan selama sehari suntuk dengan palitan lumpur ke seluruh badan kami. Penat dan letih tetapi kami yakin ia pasti berbaloi.

Sekiranya menjadi, jenis ikan seperti Semilang, Gelama, Tetanda dan Tebal Pipi pasti akan menjadi penghuni tetap rumah baru ini. Semoga semuanya berhasil..