Ke luar ke laut lepas pada masa ini memang saya elakkan seboleh-bolehnya. Memandangkan cuaca buruk yang sering hujan dan sudah tentu, angin yang amat sukar diramal. Namun dek kerana menyampaikan hajat seorang rakan lama, saya gagahkan juga. Trip jigging pertama awal tahun mencari lauk..
Walaupun pada sebelah pagi hujan sudah melanda kawasan darat, perjalanan menuju ke lokasi memancing masih lagi cerah. Cerah yang dimaksudkan ialah tidak hujan walaupun mendung. Masih sedikit berangin tanpa ombak besar sehingga ke tengahari. Tidak meletakkan harapan tinggi, kami jangkakan waktu paling lewat adalah jam 2 petang.
Setelah sampai, aktiviti jigging terus bermula dan keadaan air mula pasang dengan arus perlahan dan air jernih, menambah semangat kami untuk terus bertahan. Seleng beberapa hanyutan, seekor Tebal Pipi berjaya dinaikkan dengan jig 60 gram milik Sharil. Hasil tangan Pakcik Jawa yang baru saja pertama kali menggunakan kaedah ini. Terpancar kepuasan diwajahnya yang sudah beberapa kali ingin mengikut kami ke sini.
Selang beberapa hanyutan lagi, seekor Jenahak juga berjaya dinaikkan. Walaupun begitu, 2 biji jig menjadi mangsa pautan karang di dasar. Apa boleh buat, terpaksalah kami serahkan tanpa rela. Salah satu reba yang tersangkut pada hanyutan selepasnya berjaya dibawa naik oleh Shahril. Kabel besi yang hampir reput sepanjang 2 meter. Mungkin bahan buangan dari kapal berlabuh di situ.
Mengubah ke lokasi kedua, seekor Kerapu berjaya dinaikkan buat pertama kali di lokasi tersebut. Sebelum ini belum pernah spesis ini muncul menyambar jig kami. Kali ini hasil jig kawin Pakcik dan Shahril. Kalau sudah rezeki, memang tidak kemana. Ketika ini angin sudah mula membadai bot kami dan hujan sudah mula turun di kawasan berdekatan.
Kami masih cuba untuk bergerak ke lokasi ketiga dan akhirnya angin menggagalkan usaha kami. Oleh kerana hujan telah berhenti, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi seperti yang kami jangkakan akan berlaku. Semua peralatan dikemas rapi dan bot mula pulang ke muara.
Walaupun masa memancing yang pendek, tangkapan ini sudah cukup baik bagi kami kerana jarak perjalanan yang dekat dan jangkamasa perjalanan yang kurang dek kerana lokasi berdekatan pantai sahaja. Hasil tangkapan di bagi samarata di pengkalan sebelum pulang.