Ketika turun memancing bersama krew blog Hazrol dan Wak Kemal tempoh hari, sempat juga kami menambah jumlah tukun sedia ada untuk masa hadapan. Tukun yang kami maksudkan adalah pokok bakau yang tumbang berada di tebing selat.
Saiz pokok kali ini agak kecil kerana tong yang kami bawa tidak mencukupi bagi mengapungkan pokok besar. Namun begitu pemeriksaan mendapati bahawa kayu tersebut dari jenis yang keras dan dapat bertahan lebih lama.
Setelah mula terapung, kerja menarik ke lokasi berjalan dengan baik walaupun agak sukar pada mulanya. Semua kerja selesai dalam tempoh kurang sejam tetapi malangnya tali pelampung yang digunakan sebagai penanda putus sebelum sempat ditanda. Apa yang kami boleh lakukan hanyalah menanda berdasarkan kedudukan terhampir dengan lokasi.
Sebelum kerja membina tukun dijalankan, kami sempat memancing di kawasan yang di tanda sebelum ini. Ada juga hasil walaupun hanya bersaiz kecil dan sekadar melepaskan gigil masing-masing. Semoga dengan kehadiran tukun baru ini, akan menjadikan kawasan tersebut persinggahan dan boleh menambahkan hasil di kemudian hari.