Lokasi memancing berpotensi pada waktu ini memang agak berkurangan. Lebih-lebih lagi jika banyak bot yang berlabuh dalam satu kawasan kecil. Ini akan mengurangkan hasil yang dibawa naik dan berlaku perlumbaan yang biasanya berakhir dengan kekecewaan. Oleh kerana itu, ulangkaji perlu sentiasa dibuat jika mahu lebih pandai dan berjaya.
Minggu ini saya turun bersendirian menyuluh lokasi lama yang berpotensi bagi mencari laluan baru di mana letaknya ikan. Hasil menyuluh ini dapatlah disimpan sebagai bahan rujukan berguna untuk digunakan pada trip akan datang.
Kebanyakan lokasi ini kurang dari 12 meter dan mempunyai tanah keras berpasir. Sangkaan saya kawasan ini dataran tandus adalah tidak benar sama sekali. Jika diperhatikan di skrin sonar, masih terdapat bunga karang dan reba yang masih tidak terjejas. Tidak hairanlah jika lokasi ini sentiasa berpenghuni ketika trip berlangsung.