Sesekali meninjau lokasi lama memancing, apa salahnya. Sambil jalan-jalan kita ambil angin santai. Tujuan sebenar saya berkunjung ke sini adalah meninjau lokasi baru untuk trip Selampai yang akan datang. Mengumpul maklumat tangkapan sekarang yang biasa di daratkan pemancing tebing di kawasan ini.
Pokok ini mengunjur ke dalam sungai, tapi tiada siapa pun peduli. Bukan ini lubuk ikan ke??
Lokasi Batu Hampar, berdekatan Para Gliding dan Lapang Sasar menembak ini tidak banyak berubah. Masih ada tangkapan baik dinaikkan berdasarkan cerita pemancing di sini. Sambil menyelam, kita minum air.. Rupanya ketika air mati, spesis Selampai dan Tirusan masih banyak di sini. Jadi tidak hairanlah jika saiz mega yang berjaya diperolehi ketika menyampan di tengah sungai. Mungkin kedudukan ketika menyampan lebih baik dari menebing.
Salah seorang pemancing yang saya lihat di lokasi ini menggunakan Perumpun dan Udang Hidup. Tangkapan ketika ini hanya seekor Belukang dan Sesirat. Mengikut kata rakan ini, biasanya terdapat Ikan Tirusan di lokasi ini, tetapi hanya aktif ketika air mati, pasang tinggi dan mula surut. Hal ini di akui sendiri oleh Komando_sg@Jemik yang pernah menaikkan spesis mega di kawasan ini.
Blukang saiz asam pedas..
Satu lagi lokasi adalah di muara sungai yang terdapat tiang Peken dan sungai kecil. Dari jauh terdapat 2 jeti memancing yang saya hairan bila ia dibina. Nampak dari jauh seperti jeti memancing. Mungkin lah kot.. Dari jauh kelihatan bot sedang memancing dan tongkang besi yang kerap lalu lalang di kawasan ini. Sekitar tebing di sepanjang kawasan ini juga dipenuhi pokok bakau tumbang yang menganjur ke air. Jika dulu, kawasan ini terdapat banyak spesis Siakap dan Semilang ketika air mati pasang. Kawasan tebingnya juga agak terhakis dari kedudukan asal. Keesokkan harinya, saya dan Jemik berkunjung di kawasan pantai luar untuk melabuh jaring.