Selasa, 24 Februari 2015

Misi Banjir, Membina Rumah

Misi Banjir kali ini, kami membina rumah penduduk kampung di kawasan Serian, Kelantan. Misi ini dikendalikan oleh rakan-rakan pacuan empat roda yang saya sertai sebelum ini. Perjalanan masuk ke lokasi tersebut hanya sesuai dengan kenderaan pacuan empat roda dan berada jauh di pedalaman. Lokasinya berada di kawasan bukit dan hutan. Jalan raya yang digunakan juga agak kecil dan berbahaya.
Mendung berarak ketika pagi sebelum sempat kami memulakan perjalanan masuk ke kampung. Kami bernasib baik kerana cuaca cerah ketika kerja dijalankan dan hujan hanya turun pada waktu malam ketika ingin pulang.

Semua barang dibawa dengan kenderaan masing-masing termasuklah bekalan makanan untuk relawan dan penduduk kampung yang terlibat.

Rumah yang kami bina adalah rumah kayu yang lebih mudah dan ringkas sahaja. Hanya sebahagian saja yang sempat dibina dan tuan rumah akan menyiapkan selebihnya. Kami merasa agak terkejut kerana masih ramai yang tinggal di dalam khemah bantuan di kawasan ini. Rata-rata rumah yang musnah hanya tinggal tapak, separuh, atau jatuh ke lereng bukit.
Salah seorang Tukang, Abang Hussein membantu membuat ukuran sebelum tiang dipotong.

Rumah Abang Nas ini juga hanya tinggal separuh saja tanpa bumbung. Kami hanya berjaya menegakkan 3 batang tiang sahaja memandangkan waktu senja sudah hampir. Beliau adalah salah seorang yang masih menggunakan khemah bantuan.

Kepada rakan-rakan yang berkemampuan dan ingin menghulurkan bantuan untuk membina rumah-rumah ini, boleh lah tampil memberikan bantuan dan mendapatkan maklumat dari kami.