Jumaat, 28 Ogos 2020

Trip berhanyut bertukar sauh!

Trip kali ini, saya bersama 3 lagi ahli trip menghala ke arah Kelanang untuk mencari Jenahak, hasil nya hampa apabila kami terpaksa berpatah balik ke muara akibat angin kencang dan ombak kuat. Apa boleh buat, kuasa alam yang tidak dapat dibendung. Dengan umpan udang lipan dan belanak hidup, kami berpatah balik ke Pantai Acheh untuk bersauh.





Kami bernasib baik kerana walaupun angin agak kuat, ikan masih ingin menjamah umpan kami. Hasilnya, beberapa ekor Jenahak dan Sekor Kerapu besar berjaya diperolehi. Rezki di dalam air, tiada siapa yang mampu menjangka!

Khamis, 27 Ogos 2020

Tamok, spesis buruan kali ini!

Spesis Belanak bakau atau gelaran popularnya Tamok, kini menjadi buruan pada setiap trip kami. Ikan permukaan ini amat sukar diburu. Lantaran itu ia hanya biasa ditangkap dengan menggunakan pukat hanyut. Spesis belanak ini tidak sama dengan saudara sejenisnya seperti Kedera dan jempol yang hanya bersaiz kecil. Tamok boleh membesar sehingga 1 kilogram dan biasanya terdapat dikawasan tertentu sahaja. Mempunyai mulut berbentu V dan kuat berlari jika terkena pancing.



Setelah sekian lama mengkaji, akhirnya kemahiran memancing Tamok ini berjaya kami perolehi. Berdasarkan pengalaman kami, ikan ini boleh dipancing hanya menggunakan pelampung dan hirisan ikan sardin saja. Namun kemahirannya tetap ada dan perlu dipelajari terlebih dahulu. Jika tidak, perburuan nya pasti akan gagal.


 
 Ikan ini sesuai dimasak berkuah dan mempunyai isi berwarna putih. Selain itu ia enak dipanggang dan tidak mempunyai duri yang banyak. Sekadar informasi, untu anda!


Rabu, 1 Julai 2020

Trip PKPP, angin masih kuat..

Trip bersama 3 pemancing kali ini berlegar di kawasan sangkar dan selat. Cuaca cerah dan angin kuat mengiringi waktu memancing sehingga ke petang. Tiada apa yang dapat dibuat selain berlindung disebalik sangkar dan sungai kecil. Angin pada minggu ini memang agak kuat dan berterusan. Aktiviti memancing agak terganggu kerana semua lokasi baik tidak dapat dikunjungi. Namun dalam angin kuat, ada juga hasil berjaya dibawa naik walaupun tidak besar.

 Umpan dibawa hari ini adalah udang bersaiz kecil yang dibeli di Tanjung Harapan. Rutin biasa untuk kami mengambil umpan di laluan sama ketika keluar dari selat. Tetapi jika ke paloh, biasanya bekalan umpan diambil ditempat lain. 

 Setelah berada lama dikawasan sangkar Pulau Ketam, hasil tidak berapa baik dan angin kuat menghalang kami untuk berada dekat dengan kawasan sangkar. Sebelah petang, kami kembali ke Pken 25. Hasil menunggu sehingga jam 6 petang, seekor Pari Rimau dan Sembilang berjaya didaratkan.

 Jika dilihat dari saiz perambut yang digunakan, rasanya pari ini mungkin 50% lepas. Tetapi kecekapan pemilik joran mengatasi segalanya. Pandai bermain tali mengikut gerak tari sang pari, akhirnya berjaya dinaikkan ke bot.

Trip berakhir pada jam 6.30 petang dan kami pulang melalui sungai Chandung kembali ke pengkalan.

Selasa, 30 Jun 2020

Diari ladang sejengkal, Jagung PKP

Ketika Pkp berlangsung, hanya kebun dibelakang rumah saja yang boleh diusahakan. Hasil usaha tersebut, jagung SunSweet yang diperolehi dari Thailand dijual sebagai pendapatan sampingan. Ketika Pkp, benih jagung tiada di kedai biasa. Samada disorok atau sengaja disimpan bagi tujuan tertentu. Benih jagung ini di perolehi dari penjual di internet dengan harga yang cukup tinggi! Namun hati tergerak untuk mencuba. Sekurang-kurangnya poket tidak lah kosong selepas 2 bulan tidak bekerja dan hasilnya memang agak baik. Walaupun pada mulanya timbul masalah, maklumlah benda baru dicuba. Hasil terakhir yang boleh dibanggakan dengan sedikit kajian sendiri.


 Jagung yang ditanam kali ini agak baik kualiti benihnya, sebab apa? Sebab 100% benih tumbuh setelah 7 hari ditanam dengan 80% yang tumbuh tanpa masalah. Maksudnya 2 biji satu lubang, 2-2 tumbuh dan dari 4 batas yang ditanam dengan jarak 1 kaki setiap lubang, tidak banyak yang rosak akibat penyakit ginetik. Berbanding benih terdahulu yang diletak 4 biji selubang tetapi tumbuh hanya 2 saja. Dalam 4 batas ditanam, jumlah pokok melebihi 400 batang dan setelah berhasil tenyata jumlah minima masih lebih 400 pokok. Selebihnya berpenyakit atau buah tidak berkualiti.

 Untuk Pkp ini, 4 batas tersebut akan dipungut setelah 2 bulan 15 hari dan batas giliran berikutnya seminggu selepas itu. Kemudian batas baru berperingkat setiap seminggu supaya ada ruang untuk hasil habis dipasarkan. Dengan ini tiada bekalan akan terbuang, rosak atau tidak terjual kerana lambakan hasil. Maklumlah, kenderaan yang ada hanya motor buruk dan tenaga yang semakin kurang. Oleh kerana pergerakan terhad semasa Pkp, bekalan baja sukar diperolehi dan tidak dapat dibeli. Jumlah baja sedikit dan terpaksa dicatu.

 Seperti biasa, tiada racun serangga digunakan dalam penanaman jagung disini sejak dulu lagi. Ulat dan serangga memang agak banyak dan kualiti buah menurun. Tetapi yang hairannya permintaan tetap tinggi dan konsisten. Dengan kata lain, yang pesan dahulu dapat, yang kemudian terpaksa menunggu giliran. Kerja merumput dilakukan dengan tajak dan tangan sahaja. Memang banyak kerjanya dan agak siksa sedikit tetapi inilah cara terbaik yang dipraktikkan sejak dulu lagi. Jika mendengar komen orang yang melihat dan melawat, memang pedih dan berasap telinga. Kenapa itu dan ini?? Kenapa perlu penat, kan ada yang mudah?? Jawapannya, yang mudah jika mudarat, untuk apa diamalkan?

Sesuatu yang menarik hati ialah, hasil batas pertama jagung lebih panjang dan rongak sedikit. Isi tidak teratur dan ada ulat. Hasil batas kedua pula kecil pendek tetapi agak penuh isinya. Ketot dan comel! Hasil pemerhatian dan ilmu baru yang dipelajari dari pengalaman.


Setelah hasil dipungut, pokok jagung disedekahkan kepada penternak lembu dan kambing untuk dibuat silaj. Semoga kambing dan lembu mereka ini sihat dan gemuk. Setiap batas pula digilir kepada penternak berbeza. Dengan kata lain tunggu giliran supaya adil dan saksama. Syukur kerana semuanya memberikan hasil kepada yang memerlukan.

 Pelajaran yang diperolehi dalam menanam jagung secara kecil - kecilan ini :-
  • Jumlah kecil, untung sedikit, tidak bermakna rugi.
  • Nama baik lebih berharga dari untung besar.
Sehingga hari ini, jagung masih ada dan menunggu giliran untuk dipungut. Batas yang baru ditebang, akan ditanam semula supaya hasil berterusan sepanjang tahun. Kepada yang berminat ingin menanam jagung secara kecil - kecilan boleh lah menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman.

Bot hilang di tapak projek!

Ketika tempoh PKPP bermula, sebuah bot kami yang disewakan di tapak projek solar telah ditimpa musibah. Pihak penyewa memaklumkan kepada kami bahawa enjin telah dicuri! Dalam kesempitan, ada juga pihak tidak bertanggungjawap mengambil kesempatan. Kami bernasib baik kerana bot fiber masih berada di lokasi. 

 Kali terakhir bot diselenggara ketika tamat PKP dan gambar sempat diambil sebagai bukti kerosakan telah dibaikpulih. Tiada siapa menjangka bahawa ianya akan hilang selepas itu.

Enjin jenis Mercury SeaPro 60 kuasa kuda ini adalah bot yang biasa dibawa oleh Shahril ketika trip dan dihantar bekerja di tapak projek ini. Sehingga kini ia masih tidak dapat dikesan dan siasatan pihak terbabit masih berjalan. Inilah risiko yang biasa ditanggung pemilik bot sekiranya bot berada diluar kawasan. Bukan mudah untuk mengambil dan mengangkat enjin yang berat ini lebih lagi di atas di kawasan curam tebing lombong. Semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan baik seadanya. Semoga dugaan ini ada hikmah disebaliknya!

Trip PKPP

Selesai saja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB), beberapa trip telah berlangsung dengan jayanya. Namun dengan kapasiti dan norma baru yang perlu dipraktikkan. Semuanya berakhir dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan semua sektor beroperasi semula.

 Kebanyakan trip berlangsung di paloh 1 Kelanang dengan had maksima 2 penumpang sahaja ketika ini. Walaupun trip jigging, umpan tetap dibawa sebagai insuran dikala ikan tidak mahu menjamah jig yang disuakan. Teknik baru untuk mencari sotong di siang hari juga berjaya dipraktikkan dan berhasil. Semuanya hasil beberapa ilmu baru yang dipelajari dari Sharil. Sharil pula bercuti ketika ini dan semua trip digantikan dengan Abg Emi sebagai pemilik bot, merangkap jurumudi tetap.

 Jenahak saiz begini memang banyak di kawasan cerun bukit sekitar kedalaman 30-40 meter.

Umpan sotong jarum yang masih hidup digunakan seekor tanpa dipotong kecil. Hirisan juga boleh digunakan tetapi ia lebih berkesan jika seekor. Umpan besar ikan besar! Rasa janggal juga mencadat sotong dikala siang hari. Malah ada ahli trip yang tidak percaya bila melihatnya. Dalam waktu terdesak, perlu ada cara terbaik bagi mengelakkan kita pulang dengan tangan kosong.


 Ada pula ketikanya cuaca buruk dan tiada apa yang boleh dibuat selain mencari alternatif lain. Kuasa alam yang hebat, tidak mampu ditandingi manusia. Apa yang boleh dibuat bertahan dan mengelak jika cuaca bertambah buruk. Namun ada ketikanya merubah teknik membuahkan hasil. Contohnya Pari Rimau yang kami perolehi ini berada 2 meter dari bawah bot dengan Mesin elektrik dipegang ditangan. Lantaran tiada RodHolder di bawa.

 Oleh kerana angin dan ombak kuat, spot bertahan kadangkala berisi juga.

Ketika Pkpb, Pulau Ketam ditutup kepada semua orang luar termasuklah bot yang berlabuh. Namun kini setelah Pkpp, ia dibuka semula namun hanya kepada penduduk tetap dan bot kecil boleh mengunjungi semula kawasan sangkar ikan untuk memancing. Kelong juga telah dibuka dengan kapasiti terhad.

Hasil trip Pulau Ketam yang tidak seberapa ini mampu memberikan senyuman dan menghilangkan tekanan 2 bulan berkurung dirumah akibat PKP.

Ahad, 17 Mei 2020

Novel Corona Virus(Covid19), Wabak misteri!

Dunia telah dikejutkan dengan wabak penyakit misteri Covid19 sejak 2 bulan yang lalu. Malaysia juga tidak terlepas dari wabak ini dan ia memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Sejak bulan Febuary 2020 sehingga kini, ramai yang telah dijangkiti, sembuh dan ada juga yang telah meninggal dunia. Wabak yang bermula dari jangkitan di luar negara ini, di bawa masuk oleh rakyat tempatan tanpa disedari. Sehingga kini dunia masih menjalankan kajian dan ujian kepada ubat dan vaksin virus misteri ini.

Di malaysia, pelbagai masalah telah timbul akibat pandemik ini. Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di seluruh negara menyebabkan ekonomi negara lumpuh. Lapangan terbang dan sempadan negara ditutup sepenuhnya, menyekat kemasukan warga asing masuk dan keluar. Didalam negara, hanya sebahagian perniagaan dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut. Namun setelah PKP dilonggarkan, kini pelbagai sektor telah kembali beroperasi dengan norma baru yang pelik dan tidak pernah berlaku di malaysia. Pemakaian penutup muka, penjarakkan sosial dan pencuci tangan nyahkuman(HS) adalah perkara biasa yang akan berlaku sepanjang tahun mendatang sehinggalah adanya jalan penyelesaian terbaik.

Sehingga artikel ini ditulis, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) masih berkuatkuasa. Ketika ini perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan kecuali dengan keizinan pihak berkuasa dengan sebab tertentu yang dibenarkan. Berikutan hal ini, semua kegiatan rekeriasi termasuk perikanan rekeriasi lumpuh sepenuhnya. Tiada lagi trip memancing berkumpulan sehinggalah dibenarkan kelak. Pelbagai usaha telah digerakkan bagi mencari jalan menyelesaikan masalah ini termasuklah meminta kebenaran khas dan standart operation procedur yang baru dari pihak berkuasa yang sepatutnya.

 Walaupun diberi kebenaran beroperasi, sudah tentu jumlah pemancing akan berkurangan berikutan pergerakan terhad hanya di dalam negeri. Jumlah penumpang di dalam bot juga berkemungkinan akan dikurangkan separuh dari jumlah biasa untuk mengekalkan jarak selamat. Jika ini berlaku, sewa terpaksa dikurangkan bagi mengurangkan beban dan sekiranya sewa tidak diturunkan, pemancing pula akan berkurangan. Harga minyak yang kini telah turun hampir separuh, mengurangkan kos operasi tetapi harga alat ganti enjin bot dan kos selenggara bot tidak berubah. Ini sudah pasti menambah beban pada pengusaha bot dan seterusnya masalah pasti akan timbul dalam jangkamasa panjang.

Jika pengusaha bot mempunyai simpanan perniagaan yang sepatutnya, mereka boleh bertahan untuk jangkamasa tertentu, tetapi tidak mungkin selamanya. Kemungkinan besar ramai pengusaha bot akan menjual bot mereka dan menukar haluan ke perniagaan lain yang lebih terjamin. Didalam kesempitan ini, ada individu tertentu yang begitu perihatin menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak berkuasa supaya sektor perikanan rekriasi ini diberi perhatian sepenuhnya. Syabas diucapkan kepada mereka yang sanggup berjuang untuk untuk kebaikan. Diharapkan semua persatuan berkaitan berganding tenaga dan bahu mencari jalan membuat pencerahan kepada pihak terbabit tentang sektor yang agak ketingalan ini walaupun ia sudah lama berhasil.

Kepada semua peminat setia yang masih menyokong kami pengusaha bot pancing rekriasi, teruslah menyokong supaya sektor ini terus berkembang dan memberi kebaikan kepada perusahaan, ekonomi negeri dan seterusnya negara. Buktikan kepada mereka bahawa sektor ini bukanlah sektor terpinggir yang tidak menyumbang kepada ekonomi negara. Semoga dengan usaha ini, sektor ini kembali cerah di masa hadapan.

Kami krew pancingport.blogspot mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemancing yang terus menyokong usaha ini. Sentiasalah jaga kebersihan, elak covid19 dan patuhi arahan pihak berkuasa. Bersabarlah, semoga ada kebaikan untuk usaha ini.