Selasa, 30 Jun 2020

Diari ladang sejengkal, Jagung PKP

Ketika Pkp berlangsung, hanya kebun dibelakang rumah saja yang boleh diusahakan. Hasil usaha tersebut, jagung SunSweet yang diperolehi dari Thailand dijual sebagai pendapatan sampingan. Ketika Pkp, benih jagung tiada di kedai biasa. Samada disorok atau sengaja disimpan bagi tujuan tertentu. Benih jagung ini di perolehi dari penjual di internet dengan harga yang cukup tinggi! Namun hati tergerak untuk mencuba. Sekurang-kurangnya poket tidak lah kosong selepas 2 bulan tidak bekerja dan hasilnya memang agak baik. Walaupun pada mulanya timbul masalah, maklumlah benda baru dicuba. Hasil terakhir yang boleh dibanggakan dengan sedikit kajian sendiri.


 Jagung yang ditanam kali ini agak baik kualiti benihnya, sebab apa? Sebab 100% benih tumbuh setelah 7 hari ditanam dengan 80% yang tumbuh tanpa masalah. Maksudnya 2 biji satu lubang, 2-2 tumbuh dan dari 4 batas yang ditanam dengan jarak 1 kaki setiap lubang, tidak banyak yang rosak akibat penyakit ginetik. Berbanding benih terdahulu yang diletak 4 biji selubang tetapi tumbuh hanya 2 saja. Dalam 4 batas ditanam, jumlah pokok melebihi 400 batang dan setelah berhasil tenyata jumlah minima masih lebih 400 pokok. Selebihnya berpenyakit atau buah tidak berkualiti.

 Untuk Pkp ini, 4 batas tersebut akan dipungut setelah 2 bulan 15 hari dan batas giliran berikutnya seminggu selepas itu. Kemudian batas baru berperingkat setiap seminggu supaya ada ruang untuk hasil habis dipasarkan. Dengan ini tiada bekalan akan terbuang, rosak atau tidak terjual kerana lambakan hasil. Maklumlah, kenderaan yang ada hanya motor buruk dan tenaga yang semakin kurang. Oleh kerana pergerakan terhad semasa Pkp, bekalan baja sukar diperolehi dan tidak dapat dibeli. Jumlah baja sedikit dan terpaksa dicatu.

 Seperti biasa, tiada racun serangga digunakan dalam penanaman jagung disini sejak dulu lagi. Ulat dan serangga memang agak banyak dan kualiti buah menurun. Tetapi yang hairannya permintaan tetap tinggi dan konsisten. Dengan kata lain, yang pesan dahulu dapat, yang kemudian terpaksa menunggu giliran. Kerja merumput dilakukan dengan tajak dan tangan sahaja. Memang banyak kerjanya dan agak siksa sedikit tetapi inilah cara terbaik yang dipraktikkan sejak dulu lagi. Jika mendengar komen orang yang melihat dan melawat, memang pedih dan berasap telinga. Kenapa itu dan ini?? Kenapa perlu penat, kan ada yang mudah?? Jawapannya, yang mudah jika mudarat, untuk apa diamalkan?

Sesuatu yang menarik hati ialah, hasil batas pertama jagung lebih panjang dan rongak sedikit. Isi tidak teratur dan ada ulat. Hasil batas kedua pula kecil pendek tetapi agak penuh isinya. Ketot dan comel! Hasil pemerhatian dan ilmu baru yang dipelajari dari pengalaman.


Setelah hasil dipungut, pokok jagung disedekahkan kepada penternak lembu dan kambing untuk dibuat silaj. Semoga kambing dan lembu mereka ini sihat dan gemuk. Setiap batas pula digilir kepada penternak berbeza. Dengan kata lain tunggu giliran supaya adil dan saksama. Syukur kerana semuanya memberikan hasil kepada yang memerlukan.

 Pelajaran yang diperolehi dalam menanam jagung secara kecil - kecilan ini :-
  • Jumlah kecil, untung sedikit, tidak bermakna rugi.
  • Nama baik lebih berharga dari untung besar.
Sehingga hari ini, jagung masih ada dan menunggu giliran untuk dipungut. Batas yang baru ditebang, akan ditanam semula supaya hasil berterusan sepanjang tahun. Kepada yang berminat ingin menanam jagung secara kecil - kecilan boleh lah menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman.