Selasa, 31 Oktober 2017

Trip Syed dari Rembau

Pada minggu ini terdapat banyak siakap di kawasan sangkar ikan. Kemungkinan sisa dari sangkar bocor entah dari mana, yang kami sendiri pun tidak pasti. Hasil kami hanya sekor yang berjaya dinaikkan. Namun hasil bot kedua, melebihi 10 ekor selama 2 hari trip berlangsung. Rabut berkali-kali di tepi bot adalah perkara biasa.

 Setelah selesai mencari umpan, kami singgah di kawasan tukun lama untuk memancing. Tangkapan pertama seekor anak Temerih berjaya dinaikkan dari celah sangkut. 

 Selain itu, Kerapu dan Tetanda turut dinaikan. Masa sekitar setengah jam sebelum arus mula berubah masuk dan hampir semua joran tersangkut pada reba dibawah. Di kawasan ini hanya sesuai berlabuh ketika ada arus yang sesuai.

 Perambut dan Leader sekuat 80 paun pun bercalar di sini. Biasanya ikan kerap melarikan diri ke dalam kawasan reba sesudah meragut umpan. Jika perambut kuat dan joran kasar, ikan boleh ditarik keluar. Jika tali halus dan joran kecil, jarang tangkapan berjaya dibawa naik.

 Apabila air mula pasang, kami terus ke sangkar. Rupanya bot kedua sedang berya dengan Siakap mereka. Tak sampai setengah jam berlabuh, salah satu joran kami berhasil menaikkan seekor Siakap. Manakala satu lagi, berjaya melepaskan diri di belakang bot. Banyak halangan di kawasan sangkar seringkali menggagalkan kami membawa naik tangkapan. Kami bergerak ke kawasan lain setelah ikan mula mendiamkan diri.

Namun begitu hasil masih sama sehingga petang dan angin mula bergerak melawan arus. Kesukaran untuk berlabuh di lokasi tepat menyukarkan aktiviti memancing. Apa lagi jika perambut kerap menyangkut pada reba akibat pergerakan bot ditiup angin kencang. Begitu juga dengan hujan lebat yang turun melintasi kawasan memancing. Kami berpatah balik ke muara semula namun tidak mendatangkan hasil. Trip pulang sekitar jam 7 malam.