Trip jigging yang saya rancang minggu ini akhirnya tidak kesampaian akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Oleh kerana kekurangan bekalan minyak dan saya berseorangan, trip yang menghala ke paloh, berpatah balik ke muara. Dengan kesempatan yang ada, saya menyuluh di kawasan laluan masuk ke selat.
Kebanyakan kawasan di laluan kapal hingga pintu masuk selat, tiada langsung batu karang yang berjaya ditemui. Teori yang mengatakan kawasan ini laluan pukat tunda dan tambakan pasir mungkin benar. Bukan saja jig yang berenang di dasar rata, mata kail 3 yang saya seret di dasar, langsung tiada kesan sangkut, semata-mata kerana menyangka sonar yang tersilap!
Lubang yang dulunya dalam, kini ada yang rata dan bertambah cetek. Namun hati berbunga kembali apabila tiba di pintu masuk selat. Terdapat satu kawasan yang mungkin tapak lama mempunyai karang dan reba. Untuk memastikan ia benar, mata 3 dan ladung saya seret di bawah dan ternyata ada benda yang tersangkut!
Bukan itu saja, kawasan tersebut dipenuhi ikan! Waktu tersebut adalah sejam sebelum air mula surut dan tidak berarus. Apakan daya, set yang saya bawa hanya untuk jigging dan terlalu kecil. Paling sedih, tiada umpan di bawa bersama. Saya cuba mendarat di tebing untuk mencari Siput timba atau Umang-umang untuk dijadikan umpan terdesak. Juga gagal apabila kawasan tersebut dipenuhi pokok tumbang yang penuh berselirat. Dalam hati terdetik, kalau lah bot tersangkut, hal lain pula akan berlaku.
Akhirnya, 1 set apollo yang biasa saya gunakan di selat, menjadi penyelamat ketika itu. Dengan apollo tersebut, 3 ekor Beliak mata berjaya di naikkan, sebelum ianya nya dipotong ke 6 bahagian menjadi umpan. Nasib saya memang baik, di spot pertama, jatuh saja umpan, tidak sampai 5 minit, kedua-dua joran disambut serentak. Malangnya hanya seekor berjaya di naikkan. Seekor Jenahak besar penyelamat kumpau harini!
Salah satu tangkapan yang berjaya saya naikkan.
Hal tersebut berlaku terlalu cepat dan umpan mula diganggu ikan Gelama yang saiznya begitu bulat sekali. Saya jangkakan ini ialah Ikan Gelama dari kawasan luar. Selesai umpan habis, saya cuba menyuluh semula kawasan tersebut dan kesemua imej ikan telah hilang dari skrin. Jangkaan saya, ikan ini mungkin lari ke tempat lain apabila putus dan rabut atau telah bergerak ke kawasan lain kerana air telah mula surut.
Perjalanan diteruskan masuk ke selat sambil sonar dihidupkan. Banyak juga kawasan yang berpotensi dijumpai tetapi tiada imej ikan di kawasan tersebut. Perjalanan diteruskan ke kawasan peken 25 yang sedang hangat diperkatakan. Memang benar, kawasan telah rata. Kemungkinan kesan pukat harimau yang ditarik dikawasan tersebut. Hati terasa sedih dan hampa kerana batu karang yang begitu banyak, memakan masa berpuluh tahun untuk membesar kini sudah tiada lagi. Kemungkinan besar, tukun yang kami bina juga turut sama musnah.
Masuk ke selat, satu lagi spot menjadi persinggahan dan 2 ekor anak Temerih berjaya saya naikkan. Lokasi ini di Sarang Lang dan saya bergerak pulang sesudah itu. Walaupun hasil tidak banyak dan tidak seperti yang dirancang, ilmu yang ada harini ini boleh lah digunapakai di waktu lain. Bot sampai di pengkalan sekitar jam 6 petang.