Ada yang mengatakan bahawa membina tukun di kawasan kami adalah kerja yang sia-sia belaka. Ia betul tetapi kurang tepat, mengapa? Kerana apa saja masalah di dalam dunia ini pasti ada jalan penyelesaiannya jika kita rajin menimba ilmu dan sentiasa berfikiran ke hadapan. Jangan kerana usaha dan pendapat yang lain gagal, anda juga terikut sama mengiyakan tanpa ada usaha untuk memperbetulkan keadaan.
Aktiviti menyedut pasir yang sentiasa menjadi penghalang pembiakan batu karang di kawasan ini. Kawasan laluan perkapalan yang sempit ini memerlukan kerja pendalaman setiap beberapa tahun bagi memudahkan pergerakan kapal keluar masuk ke pelabuhan.
Berkenaan dengan tukun tayar, ya memang benar ia murah dan mudah diperolehi. Tetapi adakah ia berkesan? Kebanyakan tukun tayar yang kami bina sebelum ini menemui kegagalan. Salah satu faktornya berkaitan bahan tersebut. Tayar diperbuat dari getah dan mempunyai kimia. Di kawasan muara yang mempunyai aliran keluar masuk air tawar biasanya mengurangkan pembiakan teritip dan karang. Bahan ini mengambil masa bertahun-tahun sebelum boleh diselaputi batu karang. Selain itu ia juga sukar dikesan semula dek kerana bahan getah menyerap gema yang dihasilkan peralatan sonar.
Trip pertama 12 unit tukun dengan kos rm200 pada minggu ini..
Trip kedua pada hari berikutnya dengan 13 unit tukun dan kos yang sama.
Kedalaman kawasan tukun juga menjadi satu faktor yang sangat penting. Sekiranya kedalaman air sekitar 9 meter ke atas, tukun yang sesuai hanya sekitar 1/2 ke 1 meter tinggi sahaja yang akan berhasil. Ikan muara lebih kepada spesis ikan dasar tidak seperti ikan di kawasan terbuka yang memerlukan tukun tinggi dan mempunyai stuktur kompleks. Hal ini dapat dibuktikan melalui pemerhatian di sekitar kawasan kapal karam yang masih ada di kawasan ini. Kedudukan kapal yang kurang dari kedalaman 10 meter menyebabkan ia tidak mendapat perhatian ikan yang keluar masuk. Tetapi, sisa kapal yang berukuran 2 meter ke bawah, tenggelam di dasar, lebih mendapat perhatian ikan di kawasan tersebut.
Bunga karang yang melekat pada batu ini berjaya hidup dengan jaring yang sentiasa keluar masuk setiap hari.
Selain bentuk tukun yang sesuai, permukaan dasar juga memainkan peranan penting. Dalam banyak kes di kawasan muara, ikan akan lebih mudah diperolehi di kawasan tanah yang keras. Banyak kawasan yang mempunyai bunga karang berada di dalam kawasan seperti ini. Terdapat beberapa lokasi yang masih mempunyai kawasan karang sejak 10 tahun yang lalu dan masih terpelihara baik sehingga kini. Walaupun terdapat gangguan jaring nelayan di kawasan tersebut, bunga karang ini masih dapat hidup kerana saiz dan bentuknya berjaya mengelak pergerakan jaring yang sentiasa keluar masuk setiap hari. Ini juga satu penemuan baru yang kami sendiri tidak pernah terfikir sebelum ini.
Mempelajari sesuatu yang baru adalah salah satu usaha memperbaiki diri. Mungkin suatu hari nanti, apa yang kami perolehi ini boleh digunapakai pada masa hadapan. Walaupun tidak sehebat buku di perpustakaan, sekurang-kurangnya menjadi sesuatu yang berguna. Satu lagi usaha pemuliharaan sekadar yang termampu dilaksanakan.