Julai 1, Trip Arol..
Dah macam bola ping pong pun ada..
Kebanyakan umpan yang berjaya kali ini, udang hidup seringgit sekor. Faktor air jernih menyebabkan ikan kurang aktif dan bot terpaksa diubah berulang kali bagi mendapatkan spot terbaik. Spot yang berhasil berdekatan sauh sangkar sahaja.
Hari ini keadaan air sudah mula jernih dan berarus perlahan. Memudahkan acara memancing kami di semua lokasi berlabuh. Udang hidup saiz besar lebih mendapat perhatian berbanding ikan sardin hiris.
Hasil trip selepas spot terakhir di kawasan laluan feri menghasilkan 2 ekor semilang masih dengan umpan udang hidup. Kadangkala tabiat pemakanan ikan di sini berubah-ubah mengikut cuaca dan keadaan air pada hari tersebut.
Berlainan pada hari ini, umpan udang kupas lebih mendapat sambutan tidak seperti semalam. Kemungkinan besar air hujan yang melimpah pada sebelah pagi menyebabkankan keadaan ini. Begitu juga dengan perambut yang digunakan, kebanyakan yang berhasil dengan perambut halus sekitar 30-40 paun sahaja.
Kerapu kedua yang berjaya dinaikkan di sekitar kapal karam..
Air jernih dan arus terlalu perlahan juga mungkin menjadi penyebab utama ikan dapat melihat tali perambut dan takut untuk menjamah umpan. Begitu pun halnya, hasil masih boleh dibanggakan sehingga trip berakhir.
Julai 4, Trip En Fadli..
Oleh hari ini air masih jernih dan perlahan, perambut halus masih menjadi perhatian. Banyak tangkapan kasar tidak dapat dinaikkan lantaran penggunaan tali halus ini. Udang saiz besar yang dibeli di kolam pancing, kurang mendapat perhatian ikan pada hari ini. Ikan kembung hiris dan mata kail kecil pula yang berhasil.
Ikan kembung Pulau Jarak diberi nama oleh mereka ini disebabkan kualiti ikan yang cukup baik. Saya sendiri ketawa bila mendengar ayat ini keluar setiap kali ada tarikan di hujung kail kami. Isi ikan kembung tersebut berlainan dengan yang biasa saya beli di sini. Begitu juga dengan saiznya yang besar.
Walaupun banyak tangkapan terlepas begitu saja, hasil yang ada masih boleh dikatakan baik. Penggunaaan joran skala PE 1-2 terbukti sukar digunakan bagi tangkapan kasar pada hari ini. Pengajaran berguna buat saya untuk masa hadapan.
Julai 4, trip Wan..
Harini ini trip kumpau dengan gelama dan semilang saja..
Walaupun ada tarikan ganas di kawasan sangkar, tiada hasil berjaya dibawa naik sehingga menjelang petang. Lokasi yang sering berubah juga tidak mendatangkan hasil baik. Oleh yang demikian, kami bergerak semula ke muara dan dalam waktu senja, 2 ekor Semilang besar berjaya dinaikkan dengan umpan Prumpun yang telah mula busuk.
Hasil gambar dari bot Abul dan Hazrol..
Kegagalan kali ini mungkin berpunca dari air hujan pada sebelah pagi dan umpan udang yang terlalu kecil. Udang yang terlalu kecil kadangkala tidak diberi perhatian ikan. Udang saiz ini biasanya sesuai untuk mencari ikan lauk seperti gelama dan bebolos. Perumpun pula telah disimpan di dalam peti sejuk dan mula busuk ketika digunakan. Mungkin rezki harini sampai di sini saja. Perkara biasa bagi kami yang mencari rezeki ghaib di laut.
Julai 8, hasil trip batal..
Kebanyakan tali perambut yang saya gunakan hanya jenis yang murah saja. Kos yang tinggi menyebabkan kami beralih arah kepada yang murah. Jika anda memancing 1 ke 2 kali sebulan, mungkin kos peralatan tidak menjadi masalah. Tetapi bagi kami kami yang 15 ke 20 hari memancing, hal ini menjadi beban dan jumlah perbelanjaan akan menjadi besar.
Oleh kerana trip harini di batalkan, kami masih tetap turun mencari ilmu. Jika dipikir memang air sudah mula laju dan keruh, tetapi ini adalah peluang terbaik untuk menguji kemahiran yang ada. Udang Hidup saiz 50 sen yang kami bawa harini hanya 40 ekor di samping udang pasar yang saya beli di kedai runcit.
Kami bernasib baik kerana segerombolan ikan senagin melalui kawasan memancing kami. Hanya menyambar umpan 1 meter dari permukaan air, hal ini cuma disedari setelah tangkapan pertama di bawa naik ketika mengarau umpan. Setelah itu, umpan hanya digantung semeter dari permukaan dan banyak hasil dibawa naik dengan teknik ini.
Hasil hari ini yang kami sendiri tidak jangkakan
Kebanyakan ikan Senangin yang biasa saya lihat banyak di muara adalah ketika air menyorong besar dan menyorong kecil. Kemungkinan besar ikan ni masuk ketika air laju dan menginap di muara ketika air mati. Ikan-ikan ini mula aktif bergerak ketika air menyorong besar. Hal ini biasa saya temui ketika pengalaman merentang jaring pada waktu dahulu. Ikan Senangin bersaiz besar memang terdapat ketika air besar, namun ia sangat sukar di pancing ketika itu. Ini terbukti kebanyakan ikan bersaiz besar kerap kali didaratkan nelayan jaring sekitar selat ketika air besar. Tanggapan tidak ada ikan besar ketika air laju adalah salah sama sekali.