Rabu, 28 Jun 2017

Umpan Belanak hidup dan keberkesanannya

Pemilihan umpan dalam trip memancing kadangkala boleh menentukan hasil yang bakal kita perolehi. Hal ini memang terbukti berkesan sejak lama dahulu dan kebanyakannya hanya diguna pakai oleh pemancing berpengalaman sahaja. Pada trip kali ini, saya cuba menggunakan umpan hidup terbaik yang sukar didapati iaitu, Belanak hidup.

Cuaca cerah redup tetapi bahangnya memang terasa.

Memandangkan tiada rancangan beraya hari ini, saya turun bersendirian ke lokasi memancing yang dirancang. Sebelum memancing, umpan dijala terlebih dahulu di dalam sungai. Ketika ini, air sudah mula surut tetapi masih berada di paras tinggi. Hasilnya hampir 20 ekor Belanak hidup saiz 2-3 inci berjaya saya kumpulkan.

 Tangkapan pertama setelah lama menunggu. Sayangnya karang kipas ni terpaksa dibawa naik sekali. Terasa menyesal pula.

Selesai menjala, saya menghala ke lokasi kedua, untuk mencari sedikit Beliak mata dan Tamban. Hasilnya tidak seperti diharapkan. Kebanyakan ikan yang bermain di permukaan air tidak mahu menyambar apollo yang disediakan. Mungkin kerana ketiadaan cahaya ketika itu. Setelah segalanya selesai, bot dihala terus ke lokasi dirancang.

Ketam ini berada di dalam mulut ikan Kerapu yang saya naikkan..

Di lokasi ini, terdapat banyak anak ikan yang sering mengganggu umpan. Jatuh saja umpan, tidak sampai 5 minit hanya mata kail saja yang tinggal. Rasanya umpan hidup lebih sesuai di sini. Umpan Belanak hidup yang digunakan dicangkuk pada bahagian ekor supaya ia hidup dan dapat menarik perhatian ikan di sekitarnya. Perambut dan mata kail yang digunakan tidak boleh terlalu kasar. Ia harus sesuai dengan saiz umpan yang digunakan.

 
Ikan Baji turut sama dinaikkan dengan umpan Belanak hidup.

 
 Beliak Mata potong yang sekejap saja habis diratah ikan kecil di sini.

Belanak hidup memang agak lambat mendatangkan hasil tetapi jika mengena, jarang hasil yang dinaikkan bersaiz kecil. Sekurang-kurangnya 3 atau 4 kali ganda dari saiz umpan yang kita gunakan. Tiada gangguan ikan kecil, maka sempatlah ikan besar menemui umpan anda nanti.


 Walaupun hasil yang berjaya didaratkan tidak sehebat mana, penggunaan umpan tadi terbukti berhasil. Ia bukan omongan kosong sekadar cerita yang direka-reka. Terus terang saya katakan, umpan seperti ini hanya boleh digunakan jika pemancing tersebut yakin dan mempunyai kesabaran yang tinggi. Umpan besar, sasaran besar!