Rabu, 29 Julai 2015

Trip 28/7 En.Fadli dan Rakan

Kembali sekali lagi untuk trip kedua, mereka merancang untuk ke Pulau Ketam pula. Seperti biasa, aktiviti memancing agak hambar pada waktu pagi. Ikan hanya mula aktif apabila air tinggi pada sebelah petang. 

 Turut serta 2 orang rakan yang juga baru mula belajar memancing di laut. Aktiviti dimulakan dengan sesi mencari umpan terlebih dahulu memandangkan tiada ikan pasar yang dibeli. Umpan Udang hidup pula rasanya kurang sambutan jika mengikut pengalaman trip yang sudah. Oleh kerana trip ini mensasarkan ikan Kerapu saja, rasanya umpan ini lebih sesuai. 

 Simpan banyak-banyak untuk bekalan sehari..

 
 
 Bukan setakat Beliak mata saja yang mengena apollo kami, anak Tenggiri dan Kembung turut sama dinaikkan. Saya hairan mana pulak sesatnya ikan ni masuk ke dalam. Jarang kami temui spesis ini di kawasan muara. Setelah puas mencari umpan, sesi memncing dimulakan di lokasi Sarang Lang. Tiada langsung tangkapan di sini dan kami terus menghala ke Pulau Ketam dan sampai di lokasi pertama, hanya Duri yang berjaya dinaikkan.

 Ketika arus mula laju, kami mula berlabuh di spot Kerapu dan mula menuai hasil. Salah satunya di atas ni. Saiznya tidak lah besar, tetapi seronok juga ketika ditarik ke atas. Umpan ikan potong lebih berhasil dari Udang hidup. Entah mengapa Udang hidup tidak menjadi kebelakangan ni.


 Sungguhpun ikan kerap meragut umpan, angin masih tetap kuat dan membuai bot kami. Hampir sepanjang masa, ada saja sampah dan dan reba di bawa naik. Guni plastik, botol, plastik air, tali dan kayu semuanya kami dibawa naik gara-gara tali sulam yang kuat. Tiada seorang pun dari kami yang terlepas dari menaikkan sampah.

 Lontar ke tengah, hanyut jauh. Lontar ke tebing, kayu pula yang kena. Jadi cara terbaik letak saja ke bawah. Itu pun masih ada yang tersangkut. Ikan Kerapu di sini memng menginap di celah-celah reba sebagai perlindungan dari arus deras. Jadi hanya yang berani saja boleh memungut hasil.

 Salah satu Kerapu yang dibawa naik disangka sampah.
 Sepanjang petang, ini saja hasil yang berjaya dibawa naik. 7 ekor Kerapu comel yang hanya berminat dengan umpan ikan potong. Oleh kerana hari semakin petang, kami menghala pulang semula dan berlabuh di sekitar dermaga namun tiada hasil berjaya dinaikkan. Sesi memancing berakhir sekitar jam 6.30 pulang ke pengkalan.