Ahad, 19 Julai 2015

GT dan Pari Penutup Bulan Puasa

Memancing pada waktu siang di bulan puasa biasanya mengurangkan aktiviti memancing di laut. Bagi kami, jangan lah ini dijadikan alasan untuk tidak berpuasa dan meninggalkan kewajiban seharian. Bulan puasa sebegini biasanya sering kami nantikan untuk memancing. Kenapa kami bersusah payah turun sedangkan yang lain berehat? Kalau anda ingin tahu, ini lah masanya bot kurang di laut dan masa inilah sesuai bagi menduga lubuk yang boleh kami rahsiakan :) Faktor kurangnya bot juga menambahkan lokasi baik untuk memancing.

Kelebihan menggunakan skuter, banyak barang boleh saya bawa dalam 1 perjalanan.

Keadaan air ketika ini sudah laju tetapi masih jernih dan hijau. kebiasaannya, inilah masa sesuai untuk memancing. Namun masa yang sesuai melabuh umpan adalah singkat sekitar air mula surut dan ketika bunga pasang. Umpan pasar seperti Sardin, Belanak, Cabuk dan Kurita kami bawakan khas untuk trip ini. Umpan hidup kami jala di kawasan pantai berdekatan sangkar. Beberapa spot yang kami kunjungi pada awalnya tidak mendatangkan hasil. Bukan saja ikan baik, anak ikan pun tidak sudi menjamah umpan kami. Kemungkinan air hujan yang banyak akibat ribut pada sebelah pagi mengurangkan aktiviti ikan. Selepas tengahari, angin masih lagi kencang namun tidak melawan arus. Kesempatan ini kami ambil untuk rapat ke sangkar memburu ikan Merah. Spot pertama menghasilkan seekor Merah hampir 1kg.

Jika anda perasan, kurita yang saya cangkuk seekor bersama 2 mata, terkeluar dari mulut ikan..


Setelah hampir 1 jam menunggu, tiada kelibat ikan lain yang mahu menjamah umpan. Kurita yang disuakan, langsung tidak diusik hinggalah arus tenang. Menyedari hal ini kami bergegas ke lokasi kedua bagi mengejar arus masuk pertama yang biasanya membuahkan hasil. Setelah bertukar lokasi, kami melabuh sauh namun beberapa kali tidak berjaya akibat tiupan angin yang melawan arus. Jika tadi arus surut mengikut angin, kini arus pasang melawan arah angin. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya tali berjaya di ikat dengan baik dan selesai berlabuh, umpan terus di labuh.

 Kesukaran berlabuh kadangkala menduga kesabaran. Nasib baiklah kami hanya berdua. Ini membolehkan kami berlabuh tanpa risiko sauh dihanyutkan arus deras.

Namun kali ini, ikan mula mengganas! Salah satu joran yang saya letak di belakang melentur kuat dan belum sempat ikan dinaikkan, satu lagi joran berumpan kurita turut melentur. Eboi yang berada di belakang turut terkejut kerana joran baru saja di pacak. Serentak juga 2 ekor GT berjaya dinaikkan.

 
Memang rezeki kali ini, serentak hasil dinaikkan..

 Spesis GT yang mengikuti arus biasanya bergerak berkumpulan melebihi seekor. Mata kail belum lagi dibuka, kami terus melabuh joran lain bagi mengejar waktu emas ini. Seperti dijangkakan, dua joran yang kami labuhkan terus ditarik ikan. Salah satunya umpan Belanak sejengkal seekor turut mengena. Eboi yang menggunakan joran aksi berat turut terkejut kerana GT yang naikkan tidak sampai 1.5 kg namun cukup siksa dinaikkan. Faktor tali sangkar yang melintang di kiri kanan menyusahkan usaha kami. Bertambah malang bila joran yang saya guna pendek saja.

Kurita yang kami bawa hanya 6 ekor, itu pun setelah puas saya kuis-kuis di celah ikan yang dikumpul. Disaat genting seperti ini, sedikit sisa pun tidak kami tinggalkan :)

Joran kecil yang baru ditukar tali, menjadi pilihan ikan monster kali ini. Kurita separuh yang saya gunakan berhasil. Setelah bersusah payah bermain tali dan mengelak tali sangkar, akhirnya Pari seberat 7kg berjaya dinaikkan. Terasa menyesal pula menggunakan joran seperti ini. Saya nasihatkan anda menggunakan joran sesuai yang tidak terlalu pendek dan lembut di kawasan sangkar. Sekuat mana pun tali, jika berlaku pergeseran dengan teritip di tali sangkar, anda pasti tewas. Sekiranya joran sedikit panjang, boleh la anda julurkan ke dalam air. Jika terlalu pendek, terpaksalah anda menungging di tepi bot dan ini amat tidak digalakkan..

Setelah hasil besar dinaikkan, arus telah mula laju. Semua lokasi di sangkar sudah tidak sesuai untuk kami memancing. Percubaan di mura sungai juga tidak membuahkan hasil memandangkan udang hidup yang kami guna terlalu kecil. Kami mengambil keputusan untuk pulang saja memandangkan jam sudah melebihi 6 petang.

Waktu pergi penuh, waktu balik pun penuh. Pandai-pandailah nak hidup. Hati puas dengan trip penutup puasa terbaik kali ini!

Analisis Trip:-
  • Kerap kali terjadi ikan lebih aktif selepas ribut dan hal ini berlaku sekali lagi pada trip kali ini.
  • Kebanyakan waktu ikan aktif ketika 1 jam sebelum surut habis dan 1 jam sewaktu air mula pasang.
  • Umpan memainkan peranan penting ketika trip.
  • Kurang bot di kawasan memancing, kelebihan untuk kita memancing.