Rabu, 29 Julai 2015

Trip 25/7 En.Fadli dan Rakan

Sebelum turun memancing, kebiasanya beberapa soalan penting akan saya tanyakan kepada ahli trip. Lebih-lebih lagi jika yang baru pertama kali turun dengan menaiki bot. Risau jika ada yang tidak tahan mabuk laut. Jika ya, bolehlah difikirkan lokasi yang sesuai untuk mereka. Trip kali ini di angotai oleh En.Fadli dan rakan yang biasa memburu Kelah di rimba. Walaupun baru pertama kali memancing bersama saya, kadangkala gelagat mereka mencuit hati. Bila masanya? Bila ombak kapal dan bot besar nyaris menyebabkan mereka berguling di perut sampan. Belum biasa, saya faham tu :)

 
 Lokasi Jeti yang hanya menghasilkan seekor Tetanda dan sangkut memanjang..

Bertolak pada jam 8 pagi, bekalan umpan hanya udang hidup dan ikan pasar sahaja. Namun ada umpan istimewa yang akan kami cari ketika trip berlangsung. Umpan segar yang sukar dicari oleh mana-mana pemancing di kawasan ini. Umpan apa agaknya ya? 

 Umpan terbaik untuk menjerat mana-mana spesis mahal di kawasan ini, Beliak Mata segar! Sebut saja namanya, semua pemancing tahu betapa sukarnya untuk mendapatkan umpan ini. Namun ada caranya jika anda bijak mencari cara yang sesuai. Anda boleh gunakan jala atau Apollo mata kecil seperti di bawah ini. Namun, lokasi yang mempunyai stok umpan ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu seperti tiang jambatan batu yang mempunyai lampu kuning pada sebelah malam. Namun ia tidak selalu ada, bergantung juga kepada keadaan air dan cuaca. Artikel mengenainya ada di blog ini pada tahun yang lepas-lepas. Rajin-rajinlah mencarinya..

Jenis Apollo sesuai yang biasa saya gunakan untuk mencari Beliak Mata. Hasil ilmu yang dikongsi dengan En.Ahmad Maulana, rakan baik saya.


Selesai mencari umpan, kami memancing di sekitar kawasan Navy Hidrografi yang hanya menghasilkan Wak Dur..Ikan Duri laaaaa.. Faktor angin menyongsang arus juga menggagalkan usaha kami berlabuh di spot terbaik. Keadaan bot yang sentiasa bergerak ke kiri dan kanan menyebabkan sukar untuk memancing. Tiada apa yang dapat kami lakukan jika ini berlaku.


Situasi memancing agak hambar bila semua lokasi yang kami kunjungi tidak membuahkankan hasil sehingga petang. Keadaan arus yang baik dan perlahan tidak menjanjikan sesuatu pun walaupun sudah kerap menukar lokasi dan umpan. Hanya setelah air surut sekitar jam 3 petang dan angin mengikut arus, barulah ada tangkapan dinaikkan. Lokasi dimaksudkan adalah kawasan Sarang Lang, laluan jaring nelayan. Hasil pertama setelah 10 minit berlabuh, seekor Semilang besar berjaya didaratkan. Kerajinan menukar kedudukan membuahkan hasil. Terdapat tarikan kasar yang tidak berjaya dinaikkan walaupun sudah hampir dengan tangguk yang dihulurkan. Jangkaan saya Ikan Senangin besar memandangkan hujung perambut yang kasar dan genting.


Ketika arus laju, terdapat beberapa sambaran Senangin Buih di sekitar bot kami. Mungkin mengejar gerombolan ikan kecil di permukaan air. Agak mustahil untuk menghanyutkan umpan dalam arus deras seperti ini. Dua ekor daripadanya berjaya kami tipu dengan Udang Hidup dan Beliak mata potong. Salah satunya disangka sampah hanyut kerana langsung tidak melawan ketika di tarik naik.

Ketika masa hampir tamat, satu tarikan ganas berlaku. Mujur joran dipacak pada bot. Jika tidak memang jadi tukun lah hari ini. Umpan Beliak Mata potong berjaya menghasilkan sesuatu. Setelah puas bermain tali, Pari anggaran 4 kg berjaya dinaikkan ke bot. Akhirnya ada juga hasil besar berjaya dibawa balik.

Hasil keseluruhan trip memancing hari ini yang nyaris kumpau! Selesai trip sekitar jam 7, kami pulang ke pengkalan dengan pengalaman pertama menaiki bot memancing di laut :)