Rabu, 29 Julai 2015

Trip 27/7 En Ghazali

En Ghazali adalah pelanggan tetap kami yang biasa turun berseorangan. Kebiasaannya sangkar ikan Pulau Ketam menjadi pilihannya. Kawasan sangkar ikan ini memang banyak spesis seperti Kerapu, Merah dan Tetanda, namun ada ketika dan masanya Ikan Duri pun sukar dinaikkan. Hal ini berlaku sekali lagi hari ini. Keadaan angin menyongsang arus menambahkan kesukaran untuk berlabuh di lokasi sasaran.

 Hasil pertama saya di sangkar, seekor Kerapu Singa. Ikan Beliak Mata sekor di telannya. Ketika ini air sudah berarus perlahan dan bot di ikat melintang di tali sauh sangkar. Lokasi ini memang dalam dan rasanya tidak sesuai melabuh sauh ketika ini. Sangkar dan muara sungai sudah kami kunjungi tetapi masih tiada hasil baik dinaikkan. Setelah air tinggi dan mula surut semula, barulah ikan aktif meragut umpan.
 Sabar betul Bangau ni mencari makan. Di sepanjang tali sauh terdapat beberapa ekor burung Bangau mencari makan. Terasa tercabar pula hati ini melihat kesabaran burung ni..

 Setelah mengubah lokasi di tebing bereba, barulah hasil berjaya dinaikkan. Beberapa ekor Kerapu berjaya dinaikkan dengan umpan ikan potong. Ada juga tarikan kasar di sini namun lebih banyak yang sangkut dari yg berjaya dinaikkan. Ada saja kail tersangkut sepanjang masa memancing dek kerana angin kuat yang sering membuai bot kami. Angin yang melawan arus ini akan menjadikan bot bergerak dan berbuai. Kail akan mudah tersangkut pada reba di dasar ketika bot bergerak.

 Salah satu Kerapu yang dinaikan membawa sesuatu di dalam mulutnya. Setelah dimuntah keluar, rupanya ikan buntal kecil. Buat pertama kalinya, saya rasa pelik. Bukan ke ikan Buntal ini beracun dan tiada ikan yang menjadikannya sebagai makanan?? 

 Umpan istimewa yang jarang di tolak ikan Kerapu. 

 Akhirnya pada sebelah petang barulah ada hasil berjaya dinaikkan, sama seperti trip-trip sebelumnya. Saya sendiri tidak pasti samada faktor air atau cuaca yang menjadikan ikan kurang aktif di kawasan ini. Memang perit dan letih apabila sering menarik sauh turun dan naik ke bot untuk menukar lokasi memancing. Tetapi apakan daya, ini semua perlu dilakukan bagi mengelakkan kami pulang dengan tangan kosong tanpa usaha.

Setelah penat berusaha, 6 ekor Kerapu kecil berjaya di kumpul sebelum bertolak pulang ke pengkalan.