Rabu, 8 April 2015

Menyambung kerja membaikpulih sampan..

Kerja menampal sampan pecah telah pun siap disempurnakan. Walaupun tidak secantik pakar yang membuatnya, ini pun sudah cukup siksa saya mengerjakannya. Setelah di tampal, kini kerja merapi dan mengecat disambung semula.

 Terbalik dulu supaya mudah dibersihkan dan cat akan cepat kering di tengah panas.

 Sukarnya mencari cat ini. Hanya satu kedai saja yang menjual cat jenis ini dan jauhnya di hujung pulau.

 Cat ini akan dicampur dengan serbuk cili bagi mengurangkan pertumbuhan teritip.

 Hanya bahagian bawah yang perlu sahaja.

 Selepas ini barulah bahagian tepi dan dalam pula. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan termasuk lah membuat kotak tengah dan tulang lantai supaya mudah meletak papan. Kayu 2x2 yang digunakan dulu selepas ini tidak akan digunakan bagi mengurangkan berat sampan.

Trip En.Ghazali, Semilang..

Kadangkala umpan perlu sesuai dengan keadaan semasa. Tidak semestinya umpan hari ini sesuai untuk hari esoknya. Jika sebelum trip ini udang kawin lebih berkesan, kali ini udang pasar pula yang menjadi. Hampir semua Ikan Semilang yang kami naikkan lebih berminat dengan umpan ini.

 Binatang apakah ini?? Menelan umpan perumpun yang kami gunakan.

Siap muntah lagi atas kain lap kami.

Spot tiang jambatan yang biasa kami kunjungi ketika menghala pulang ke pengkalan.

Sebahagian hasil yang kami naikkan sepanjang hari memancing.

Trip Tebal Pipi Bersama Komando_Sg

Kami bertolak pada malam hari untuk mengendap spesis mahal kononnya. Dek kerana keletihan, sudahnya kami tidur hingga ke pagi. Tiada langsung tangkapan berjaya dinaikkan pada waktu itu sehinggalah waktu siang dan air separuh surut. Menjenguk lubuk yang lama kami tinggalkan, Ikan Sembilang saiz kasar kami naikkan.

Ikan pertama yang saya naikkan selepas Jemik mengaut semua Semilang di lubuk pertama.

 
 Ikan kedua selang 20 minit setelah dua kali tersangkut dan putus.

 
 Jemik dengan tangkapan yang sama. Anehnya ke semua Tebal Pipi yang kami perolehi pada trip selepas ini juga memilih Perumpun sebagai makanannya. Udang hidup langsung tidak mendapat sambutan. Udang pasar? Sesirat jadi tumpuan.


 Tanda di hujung pulau..

 Kesemua Semilang di atas adalah hasil kerja Komando-Sg@ Jemik. Umpan udang kunyit kawin lebih mendapat sambutan. Perumpun tiada layanan langsung!

Trip En.Said Rembau

Kebanyakan trip bulan ini hanya berlangsung di muara saja. Pulau Ketam sudah tidak sehebat dulu. Untuk mengelakkan trip kumpau, kami beralih ke muara memburu spesis Tirusan dan Gelama.

 En. Said bersama ahli keluarga dengan ikan Tirusan kecil.

Kapal mengorek pasir melakukan kerja menambak paya bakau yang pastinya akan mengurangkan lokasi memancing kami.

 Gelama adalah spesis wajib di kawasan ini. Namun saiz Gelama di sini agak besar dan bulat.

Tiada Spesis Semilang kali ini seperti sebelum trp yg lepas tetapi diganti dengan tirusan dan Pisang. Umpan hidup kurang berkesan tetapi perumpun pula paling menjadi ketika ini. Mungkin keadaan air yang jernih dan perlahan menjadikan umpan Perumpun lebih berkesan.

Sabtu, 21 Mac 2015

Keadaan Air Sesuai Memancing April 2015

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.
       
1         Air Menyorong Besar
2         Air Menyorong Besar
3         Air Menyorong Besar
4         Air Besar
5         Air Besar
6         Air Besar
7         Air Besar
8         Air Besar
9         Air Besar
10       Air Mengurang
11       Air Menyorong Kecil
12       Air Mati
13       Air Mati Tak Berarus
14       Air Mati
15       Air Menyorong Besar
16       Air Menyorong Besar
17       Air Menyorong Besar
18       Air Besar
19       Air Besar
20       Air Besar
21       Air Besar
22       Air Besar
23       Air Besar

24       Air Mengurang
25       Air Menyorong Kecil
26       Air Mati
27       Air Mati Tak Berarus
28       Air Mati
29       Air Menyorong Besar
30       Air Menyorong Besar

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 10-12, 14-17, 24-26, 28-30

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Sekadar Informasi, Analisis Di Lapangan 2

Kebiasaannya lokasi ketika air surut berbeza dengan lokasi ketika air pasang. Ini di sebabkan keadaan arus laju yang tidak sesuai untuk memancing. Kebanyakan ikan pula lebih gemar mencari makan di kawasan tebing bereba dan sebagainya. Pernah di satu ketika dulu, kawasan landai berpantai yang timbul ketika air besar tetapi berpenghuni ketika air mati. Mungkin ada sebab mengapa ikan ini berminat ke sini pada waktu itu.

Apabila arus berubah, lokasi juga sepatutnya turut berubah mengikut keadaan semasa. Ambil contoh seperti di atas, lokasi c, f, g, h, i dan j adalah turutan terbaik untuk anda melabuh sauh. Spot c dan f sesuai ketika air mula masuk ke dalam sungai. Kebanyakakan ikan Seperti Tetanda dan Sembilang akan mula melalui kawasan tebing ketika ini. Anda juga harus tahu keadaan tanah di laluan ini juga mempunyai kekerasan berbeza. Kebiasaannya, tanah yg lebih keras akan menjadi laluan ikan dan mudah untuk kita memancing. Anda boleh melihat contoh tanah yg melekat pada batu ladung atau sauh semasa diangkat. Petanda paling mudah, sauh hanyut ketika berlabuh.

Spot e dan d sudah tidak sesuai lagi memandangkan arus sudah mula laju dan paras air yang lebih dalam. Setelah air mula deras dan tinggi, lokasi g, h, i dan j sudah boleh anda kunjungi. Aliran deras akan menyebakan ikan berlindung di lokasi tebing ini.

 Untuk pengetahuan anda, peta di atas menunjukkan laluan arus air surut ketika di fasa terakhir. Mungkin berguna digunakan suatu hari nanti.

Selasa, 10 Mac 2015

Sekadar Informasi, Analisis Di Lapangan

Kawasan memancing di kawasan Port Klang memang boleh dikatakan agak luas dan besar. Namun bagi kami yang sudah biasa di kawasan ini, padang pancing di sini sebenarnya tidaklah sebesar mana. Seluruh kawasan dari muara hingga ke Pulau Ketam boleh dijelajahi dalam masa satu hari saja. Itu pun jika anda mempunyai bot yang laju dan sesuai.

Mengapa saya katakan begitu? Mengikut analisis dan pengalaman selama beroperasi di sini, lokasi berpotensi memang banyak tetapi faktor masa dan keadaan air pasang surut mempengaruhi keadaan penghuni di dasarnya. Anda perlu pantas, bijak mencari peluang dan tahu sebanyak mungkin maklumat berkaitan. Pada kali ini saya akan terangkan sedikit pengetahuan tentang lokasi aliran arus dan waktu sesuai untuk anda memancing. Sedikit maklumat yang mungkin berguna untuk anda di masa terdesak.

Sebagaimana yang kita tahu, aliran air pasang surut yang keluar masuk melalui sesuatu kawasan biasanya akan mempengaruhi sifat penghuninya. Di sini lah, perbezaan antara berjaya dan gagalnya trip anda. Memang betul rezeki hanya Allah yang menentukan, tetapi tanpa usaha sewajarnya tak mungkin ia berhasil. 


Lokasi pertama kita, Telok Gong dan Jambatan Pulau. Lokasi ini adalah syurga pemancing Gelama. Dari jenis yang kecil keemasan, hitam, Pisang hinggalah yang paling besar iaitu Tirusan. Kebiasaannya ikan aktif ketika air pasang di kawasan a,b,c,d,e dan f. Namun anda perlu tahu masa mana yang sesuai untuk berlabuh dan mengejar keseluruhan fasa air. Dengan kata lain, anda perlu berada tepat pada masa dan laluan ikan ini berada sepanjang waktu air pasang. Saya beri satu contoh supaya anda lebih faham. Ketika air mula pasang dan arus mula bergerak masuk, lokasi pertama yang perlu anda kejar ialah f. Mengapa f bukan e? Arus permulaan ketika mula naik adalah perlahan dan f lebih sesuai kerana ia berada di kawasan tengah di mana ikan berkumpul ketika air surut. Apabila air sudah mula laju, barulah bergerak ke lokasi e. Yang mana lokasi cetek sebelumnya telah bertukar lebih dalam dan arus sudah ada. Ingat peraturan ini, ikan akan aktif bila terdapat arus.

Apabila ingin bertukar lokasi, pilihan anda seterusnya adalah c, a, b dan d. Ketika ini c dan a sudah berada pada paras air dalam kerana lokasi ini berada pada alur selat. Lokasi a pula adalah beting yang masih cetek. Jadi anda perlu menunggu kedalaman air yang sesuai sebelum berlabuh di lokasi tersebut. Manakala d adalah lokasi terakhir kerana berada di laluan dalam dan hanya boleh dilawati ketika arus mula perlahan. Untuk pengetahuan anda, lokasi ini sesuai dikunjungi ketika air mati.

Di muara Lebuh Gurap dan Navy pula sama seperti lokasi yang pertama tadi. Ketika air mula surut dan masih tinggi, lokasi a, b, f dan c adalah yang paling sesuai ketika ini dengan syarat mempunyai arus dan umpan sesuai. Lokasi memang berdekatan tetapi umpan pula berbeza mengikut keadaan. Umpan Udang hidup dan Beliak mata adalah sesuai di lokasi pertama untuk menjerat Tetanda, Semilang dan Senangin yang baru keluar mengikut arus surut dari dalam. Namun di lokasi b, umpan perumpun lebih sesuai kerana kawasan landai pantai cetek. Udang hidup kurang berguna di sini kerana terdapat banyak ikan kecil yang pandai mencuri umpan. Daun Baru dan Tetanda di sini lebih gemar umpan Perumpun dengan mata kail dan perambut kecil. Apabila air sudah mula surut habis, barulah anda keluar ke lokasi d dan e. Umpan udang pasar dan beliak mata memang berkesan di sini. 

Sekiranya anda malas untuk beralih lokasi dan ingin mengendap spesis sisik, di sinilah tempat terbaik menunggu sehingga air naik semula. Perlu saya ingatkan, lokasi ini biasanya berhasil ketika air besar. Banyak lagi lokasi lain dan lebih kurang sama saja teori nya. Namun apa yang ingin di tunjukkan bukan lubuk semata tetapi kemahirannya. Sekadar informasi untuk anda...