Selasa, 10 Mac 2015

Sekadar Informasi, Analisis Di Lapangan

Kawasan memancing di kawasan Port Klang memang boleh dikatakan agak luas dan besar. Namun bagi kami yang sudah biasa di kawasan ini, padang pancing di sini sebenarnya tidaklah sebesar mana. Seluruh kawasan dari muara hingga ke Pulau Ketam boleh dijelajahi dalam masa satu hari saja. Itu pun jika anda mempunyai bot yang laju dan sesuai.

Mengapa saya katakan begitu? Mengikut analisis dan pengalaman selama beroperasi di sini, lokasi berpotensi memang banyak tetapi faktor masa dan keadaan air pasang surut mempengaruhi keadaan penghuni di dasarnya. Anda perlu pantas, bijak mencari peluang dan tahu sebanyak mungkin maklumat berkaitan. Pada kali ini saya akan terangkan sedikit pengetahuan tentang lokasi aliran arus dan waktu sesuai untuk anda memancing. Sedikit maklumat yang mungkin berguna untuk anda di masa terdesak.

Sebagaimana yang kita tahu, aliran air pasang surut yang keluar masuk melalui sesuatu kawasan biasanya akan mempengaruhi sifat penghuninya. Di sini lah, perbezaan antara berjaya dan gagalnya trip anda. Memang betul rezeki hanya Allah yang menentukan, tetapi tanpa usaha sewajarnya tak mungkin ia berhasil. 


Lokasi pertama kita, Telok Gong dan Jambatan Pulau. Lokasi ini adalah syurga pemancing Gelama. Dari jenis yang kecil keemasan, hitam, Pisang hinggalah yang paling besar iaitu Tirusan. Kebiasaannya ikan aktif ketika air pasang di kawasan a,b,c,d,e dan f. Namun anda perlu tahu masa mana yang sesuai untuk berlabuh dan mengejar keseluruhan fasa air. Dengan kata lain, anda perlu berada tepat pada masa dan laluan ikan ini berada sepanjang waktu air pasang. Saya beri satu contoh supaya anda lebih faham. Ketika air mula pasang dan arus mula bergerak masuk, lokasi pertama yang perlu anda kejar ialah f. Mengapa f bukan e? Arus permulaan ketika mula naik adalah perlahan dan f lebih sesuai kerana ia berada di kawasan tengah di mana ikan berkumpul ketika air surut. Apabila air sudah mula laju, barulah bergerak ke lokasi e. Yang mana lokasi cetek sebelumnya telah bertukar lebih dalam dan arus sudah ada. Ingat peraturan ini, ikan akan aktif bila terdapat arus.

Apabila ingin bertukar lokasi, pilihan anda seterusnya adalah c, a, b dan d. Ketika ini c dan a sudah berada pada paras air dalam kerana lokasi ini berada pada alur selat. Lokasi a pula adalah beting yang masih cetek. Jadi anda perlu menunggu kedalaman air yang sesuai sebelum berlabuh di lokasi tersebut. Manakala d adalah lokasi terakhir kerana berada di laluan dalam dan hanya boleh dilawati ketika arus mula perlahan. Untuk pengetahuan anda, lokasi ini sesuai dikunjungi ketika air mati.

Di muara Lebuh Gurap dan Navy pula sama seperti lokasi yang pertama tadi. Ketika air mula surut dan masih tinggi, lokasi a, b, f dan c adalah yang paling sesuai ketika ini dengan syarat mempunyai arus dan umpan sesuai. Lokasi memang berdekatan tetapi umpan pula berbeza mengikut keadaan. Umpan Udang hidup dan Beliak mata adalah sesuai di lokasi pertama untuk menjerat Tetanda, Semilang dan Senangin yang baru keluar mengikut arus surut dari dalam. Namun di lokasi b, umpan perumpun lebih sesuai kerana kawasan landai pantai cetek. Udang hidup kurang berguna di sini kerana terdapat banyak ikan kecil yang pandai mencuri umpan. Daun Baru dan Tetanda di sini lebih gemar umpan Perumpun dengan mata kail dan perambut kecil. Apabila air sudah mula surut habis, barulah anda keluar ke lokasi d dan e. Umpan udang pasar dan beliak mata memang berkesan di sini. 

Sekiranya anda malas untuk beralih lokasi dan ingin mengendap spesis sisik, di sinilah tempat terbaik menunggu sehingga air naik semula. Perlu saya ingatkan, lokasi ini biasanya berhasil ketika air besar. Banyak lagi lokasi lain dan lebih kurang sama saja teori nya. Namun apa yang ingin di tunjukkan bukan lubuk semata tetapi kemahirannya. Sekadar informasi untuk anda...