Khamis, 15 Oktober 2020

Trip menajamkan ilmu bersama Jurumudi Encik Amin Ali

 Encik Amin Ali adalah jurumudi terkenal dikawasan Pulau Angsa. Beliau pakar dalam teknik jig mikro di kawasan tersebut. Harini, beliau berhasrat mencari tangkapan besar yang belum pernah diperolehi sebelum ini. Atas dasar persahabatan dan ilmu yang akan berterusan, saya mengajaknya keluar ke lokasi lain ke paloh 1 Kelanang. Sudah menjadi adat menuntut ilmu, adalah wajib duduk semeja dan perlu turun bersama sebagai cara terbaik untuk belajar.

Kali ini saya menaiki bot Encik Amin Ali dari Sementa dan disertai 3 rakan lain yang ingin mencuba nasib bersama. Perjalanan dari pengkalan memakan masa hampir 2 jam ke lokasi berikutan cuaca kurang baik pada pagi tersebut. Pada jam 10 pagi kami sampai dilokasi pertama berhadapan Tanjung Rhu dan hasilnya seekor Kerapu dan Jenahak skala 1kg berjaya dinaikkan. Berbekalkan umpan sotong kurita hidup yang dipotong 4 dan teknik menghanyut, adakalanya mesin elektrik lebih berguna berbanding mesin manual yang banyak menggunakan tenaga.

Walaupun berulang kali menghanyut di 2 lokasi berbeza, keadaan ombak yang agak kuat menyukarkan kami memancing. Namun cuaca mula bertambah baik dan arus pasang mula bertukar arah. Setelah arus tiba, kami menukar lokasi baru dan hanya ada 1 jam lebih sahaja untuk meneruskan perburuan. Sampai di lokasi, umpan sotong potong diturunkan dan bot hanyut tepat di laluan bertanda. Baru sekali hanyut, seekor Jenahak saiz sama berjaya dinaikkan.


Menyedari lokasi berisi, kami mencuba sekali lagi dan akhirnya penantian berhasil. Mesin elektrik milik Encik Amin ditarik kasar dan gaya tarikannya memang ada ikan besar dihujung kail. Akhirnya tangkapan berjaya dibawa naik dan hasilnya Jenahak Mega 6.8kg mengakhiri trip hari ini. Tercapai sudah impian memiliki lesen besar dan bot dihala balik ke pengkalan.
 
 Hasil tangkapan hari ini, 4 ekor Jenahak, seekor Kerapu dan seekor Talang berjaya dikumpul. Trip menimba ilmu yang berjaya dan semoga ia dapat digunakan sebaiknya.