Selasa, 13 Oktober 2020

Aruz, bot baru bakal beraksi..

 Setelah sekian lama tersadai, akhirnya bot baru sudah boleh beroperasi. Jika bot lama diberi nama Mers dan Viva, bot baru ini diberi nama Aruz, lantaran ia lebih besar, laju dan lebih selesa. Namun kos untuk mendapatkannya bukan lah murah dan semudah yang disangka. 


Sebelum ini, Aruz dijangka menggunakan 2 buah enjin 60hp dan transom bot telah dipotong. Namun rancangan tersebut gagal  apabila salah satu dari enjin tersebut telah hilang. Oleh yang demikian, sebuah enjin 90hp telah dibeli dengan seorang rakan dan dipasang pada Aruz. Kerja menambah transom telah berjaya disiapkan sesuai dengan ketinggian enjin tersebut. 
 
 
 
Kerja memasang peralatan dibantu dengan rakan-rakan pengkalan yang pernah menggunakan enjin jenis ini. Enjin ini sudah lama tidak digunakan namun dapat dihidupkan dengan hanya sekali tekan sahaja!

 
Sistem kawalan setereng dipasang setelah enjin siap dipasang. Memasangnya tidaklah sukar seperti yang disangka, cuma perlu sedikit kesabaran dan ruang untuk berfikir. Setelah siap dipasang, ia dicantum dengan sistem enjin di bahagian belakang. 


Remote pula saya pasang terakhir setelah bot sudah dicat dan turun dari pelantar. Maklumlah, peralatan ini sangat mahal dan jika dibiarkan tanpa perhatian, sudah tentu sesuatu yang buruk akan berlaku. Satu lagi tentang alat ini ialah, ketika diterima, ia sebenarnya kawalan kiri, bukan sebelah kanan seperti yang biasa. Tetapi ditukar kepada sebelah kanan dengan sedikit modifikasi. Remote ini memang boleh ditukar-tukar mengikut keperluan dan kesesuaian pemilik bot.
 
 

Setelah semuanya siap dipasang, Aruz mula bergerak dan dipandu uji oleh saya dan rakan yang sama-sama menyiapkannya. Setakat ini, ia berfungsi baik seperti yang diharapkan. Kanopi pula akan menyusul kemudian kerana masih dalam pembinaan. Set kanopi lipat yang kekal dibahagian belakang rasanya lebih sesuai untuk Aruz. Ia lebih ringan, mudah dipasang dan murah kosnya. Jika kos menempah kanopi sekitar rm2.5k, kanopi yang saya buat sendiri adalah kurang dari rm1k. Ia tidak secantik seperti yang ditempah, tetapi memadai dengan modal yang telah ada. Namun, setelah ia dipandu, baru lah kami perasan bahawa sistem setereng telah dipasang terbalik! Pusing kanan ke kiri, pusing kiri ke kanan. Inilah pengalaman mencuit hati saya dalam proses memasang sistem enjin di bot baru!