Kemahiran asas bertukang atau membaiki rumah kayu sudah agak kurang sekarang. Maklumlah, kebanyakan rumah sekarang lebih kepada binaan batu dan bertahan lebih lama. Tidak hairanlah sekiranya rumah separuh kayu kini sudah berkurangan.
Pada waktu pkp pada kali ini, saya mengambil kesempatan untuk membaiki rumah sewa milik ibu yang sudah dikosongkan penghuni lama.
Rumah separuh kayu ini sudah mula dimakan anai-anai. Banyak kayu kerangka utamanya sudah reput, jika tidak dibaiki ia bakal runtuh bila-bila masa saja. Keadaanya agak teruk jika dilihat dari mata kasar.
Kerja pertama yang perlu dibuat adalah membuat anggaran harga barang yang bakal dibeli. Dalam kes ini, saya membeli semua kayu yang diperlukan mengikut kemampuan yang ada saja. Waktu begini semuanya perlu dijimatkan. Duit sudah semakin kurang setiap hari disebabkan wabak covid19 yang melanda.
Selesai membeli kayu, saya buka semua kayu yang rosak. Sebelum itu, periksa dulu mana yang patut dicabut dahulu. Takut nanti silap cabut, runtuh pula bumbung. Semua paku lama dicabut siap atau dibengkokkan. Ini untuk mengelakkan kemalangan dikemudian hari. Pernah ada sejarah tercucuk paku ni, jadi sentiasa beringat. Sisa paku dikumpul di dalam botol untuk dikumpul dibahagian besi buruk. Semua kayu rosak dikumpul dibahagian luar rumah.
Selesai kayu lama ditanggalkan, kawasan dibersihkan terlebih dahulu bagi memudahkan kerja memasang kayu yang baru. Waktu ini kayu masih belum sampai. Kayu yang saya beli adalah kayu 2x1, 2x4 dan 2 keping plywood berukuran 9mm.