Khamis, 20 November 2014

Sekadar Informasi, Umpan Oh Umpan..

 Pemilihan umpan untuk trip memancing adalah sangat penting. Bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, ia memberi kesan kepada hasil yang bakal dibawa naik kelak. Namun begitu, umpan yang disediakan juga kadangkala memberi masalah kepada pemancing, mahupun pemandu pancing seperti kami. Sebagai contoh, umpan hidup.

 Belanak hidup sekitar 3 inci adalah yang terbaik untuk memburu spesis seperti Siakap dan Senangin.

 Umpan hidup biasanya boleh dibeli di lokasi tertentu atau disediakan oleh sendiri oleh Pemandu pancing. Oleh kerana kesukaran mendapatkannya, harga biasanya menjadi mahal. Antara umpan terbaik yang sukar didapati, ikan Belanak Hidup. Umpan ini biasanya sukar disimpan dan perlu disediakan secepat mungkin dengan waktu anda bertolak turun memancing. Sekiranya disimpan terlalu lama, ia akan mati dan menyebabkan kerugian kepada pencari umpan terbabit.

Kadangkala kami juga menyediakan khidmat ini namun hasilnya memang menyedihkan. Anda bayangkan pada jam 10 malam kami turun menjala dan pulang kepengkalan pada jam 4 pagi. Pada jam 7 pagi sampai di pengkalan, separuh dari umpan yang dijala mati bergelimpangan.

 Pemandu pancing bertanggungjawap menyediakan umpan sekiranya dirasakan perlu.

 Sekiranya anda seorang berpengalaman, anda tidak akan memandang remeh perihal umpan ini. Umpan hidup berbeza dari satu lokasi ke satu lokasi memancing yang lain. Hanya Pemandu pancing saja yang mengetahui yang mana sesuai pada waktu trip. Jadi pastikan anda mempunyai maklumat yang cukup sebelumturun memancing. Hanya yang terbaik menghasilkan yang terbaik dan usaha yang jarang mengecewakan. Jadi jangan anda mengeluh tentang kos yang bakal dilaburkan kerana ia memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Sekadar informasi untuk anda..

Isnin, 17 November 2014

Trip 13/11 En.Rosidi

Trip kali ini masih berada di persekitaran sangkar ikan Pulau Ketam. Pada kami kawasan ini saja yang sesuai untuk trip memandangkan kekerapan tangkapan baik dibawa naik dan lokasi memancing yang banyak boleh dikunjungi dengan cepat.

 Namun kali ini tiada tangkapan menarik dengan umpan ikan potong tetapi dengan umpan Belanak hidup yang kami jala sebelum berlepas. Antara tangkapan terbaik ketika ini, Senangin di bawak sangkar.

 Senangin kedua juga dengan umpan Belanak hidup.

 Tetanda skala 2 hidangan seekor.

 Merah kecil dan Tetanda kecil.

 Dua lagi Senangin menjadi habuan kami menjadikan jumlah 4 ekor.

Joran lembut yang digunakan memang agak sesuai ketika ini, namun perlu sedikit perhatian ketika mengarau ikan naik ke bot. Tali sangkar yang bersilang kerap kali memutuskan perambut dan tali utama. Pulang ke pengkalan sekitar jam 7 malam dengan hari memancing yang baik.

Selasa, 11 November 2014

Keadaan air sesuai untuk memancing Disember 2014

Berikut kami senaraikan hari yang sesuai untuk memancing.

1         Air Mati Tak Berarus
2         Air Mati
3         Air Menyorong Besar
4         Air Menyorong Besar
5         Air Besar
6         Air Besar
7         Air Besar
8         Air Besar
9         Air Besar
10       Air Besar
11       Air Besar
12       Air Besar
13       Air Mengurang
14       Air Menyorong Kecil
15       Air Mati
16       Air Mati Tak Berarus
17       Air Mati
18       Air Menyorong Besar
19       Air Menyorong Besar
20       Air Menyorong Besar
21       Air Besar
22       Air Besar
23       Air Besar
24       Air Besar
25       Air Besar
26       Air Besar
27       Air Mengurang
28       Air Menyorong Kecil
29       Air Mati
30       Air Mati Tak Berarus
31       Air Mati

Tarikh paling sesuai untuk memancing adalah sekitar 2-4, 13-15,17-20, 27-29, 31.

Semua informasi di atas sekadar petunjuk sahaja dan bukanlah tepat. Semuanya bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan arus pada waktu yang dinyatakan. Paling penting rezeki dari Allah Ta'ala. Sedikit pengalaman sebagai pemancing di kawasan ini, kami kongsikan bersama anda.

Sekadar Informasi, Jangan buang Udang Gantung!

Ketika menjala udang, kadangkala terdapat sejenis udang berkepala besar dan mempunyai telur di bahagian bawah perutnya. Kami memanggilnya sebagai udang Gantung. Kepada yang biasa menjala udang, anda pasti sedar tentang kehadiran udang ini. Biasanya anda akan buang semula ke laut kerana pada anda, ia bukanlah umpan yang sesuai. Anda silap! Sudah kerap kali kami menggunakan udang ini dan berjaya menghasilkan tangkapan baik.

 Jenahak yang Ibu saya naikkan, menggunakan umpan Udang Gantung.

Oleh kerana kulitnya yang keras dan mempunyai perisai tebal, udang ini akan kurang mendapat gangguan dari ikan kecil dan ikan Duri. Oleh kelebihan ini, hanya ikan tertentu saja yang akan memakannya. Salah satunya, ikan Jenahak atau Tetanda besar seperti di atas.

Kesimpulannya, udang ini boleh digunakan sebagai umpan. Rahsia yang kami kongsikan, untuk anda, hanya sekadar informasi...

Trip 2/11 Mancasting dan Geng P.Net

Trip kali ini di kategorikan trip kumpau kerana jumlah tangkapan amat kurang sekali. Hanya beberapa ekor ikan kecil dan Seekor Senangin saja yang berjaya dibawa naik. Biasanya memang terdapat trip-trip seperti ini yang berlaku sepanjang masa. Kita hanya mampu berusaha namun hasil, Dia lah menentukan.

 Hasil Senangin di bawah sangkar, lauk hidangan 2 pinggan.

Trip 1/11 En.Hazrul dan Rakan

Kehadiran Kerapu bersaiz besar sebelum nampaknya telah mula berkurangan. Kemungkinan besar ikan sudah berpecah mengikut arus pasang besar ke lubuknya. Walaupun tiada lagi tangkapan sehebat sebelum  ini, masih ada tangkapan lain yang berjaya dinaikkan. Tidak sebesar mana tetapi cukup untuk menghiburkan kami.

 Ikan Kerapu saiz kecil yang membaham Belanak hidup saya. Cuba lihat saiznya berbanding dengan saiz pisau yang disertakan bersama.

 Trip kali ini disertai En Hazrul dan 3 orang rakannya saya bawakan ke kawasan sangkar Pulau Ketam. Berbekalkan umpan ikan pasar dan Belanak hidup, beberapa tangkapan berjaya dibawa naik. Keadaan air mati kali ini agak tenang dan biasanya umpan hidup lebih berguna berbanding umpan mati atau ikan potong.

 Kerapu Last Minute sebelum trip berakhir dengan umpan ikan potong, joran kecil.

Banyak lokasi yang kami kunjungi agak tidak membuahkan hasil. Kebanyakannya Ikan Duri yang kerap menghabiskan umpan. Dalam celah-celah ikan Duri, muncul tangkapan yang baik. Ini biasanya berlaku apabila ikan sasaran tidak sempat menjamah umpan berbanding ikan Duri dan Gelama yang lebih cekap.

 Kebanyakan ikan Senangin di sini lebih banyak ketika air mati dan amat bijak mencuri umpan. Biasanya kalau joran tidak direntap, umpan akan di curi dalam sekelip mata. Kepada yang baru berjinak memancing di kawasan ini, jangan tertipu sekiranya joran bergetar apabila menggunakan umpan Belanak hidup. 

 Senangin ini pula memecut laju ke bawah sangkar sehingga bunyi mesin mengejutkan kami. Joran kecil yang digunakan memang menjadi pada mereka.

 Terdapat Ikan Kerapu bersaiz besar bergelimpangan mati dibawa arus setiap kali kami turun memancing. Mungkin sisa ikan yang dibuang setelah mati di dalam sangkar. Rasanya satu pembaziran sumber yang sering berlaku. apalah salahnya jika dibuat Ikan Masin, ada juga hasil yang boleh menggantikan kerugian yang ada.

Hasil trip kali ini tidak banyak tetapi semuanya spesis mahal yang sukar diperolehi di kawasan pantai. Kami pulang ke pengkalan pada jam 7 malam.

Khamis, 30 Oktober 2014

Memancing bersama Ibu dan Eboi

Cuaca mendung pada setiap petang, kadangkala membawa hujan lebat bersama. Adalah lebih baik anda menyediakan baju hujan sebelum turun memancing. Hari ini kami turun bertiga sekadar melepaskan tekanan bersama keluarga. Saya, Ibu dan Eboi turun memancing untuk mencari lauk segar. Sesekali ingin juga memancing bersama keluarga.

 
Kami turun tepat jam 8.40 pagi dan menuju terus ke Pulau Ketam. Berbekalkan umpan sotong, cabuk dan Sardin, hanya 3 lokasi yang sempat dituju. Sungguh pun cuaca agak mendung dan berangin, kepanasan sinaran matahari tetap terasa membakar kulit kami. Untunglah ada kanopi yang boleh digunakan untuk berteduh.

Lokasi pertama kami adalah sekitar sauh sangkar. Hasil pertama saya Tetanda sebesar tapak tangan disulami ikan Duri yang asyik menggangu umpan. Namun hasil tangan ibu lebih menyerlah bila kebanyakan spesis mahal berjaya dinaikkan. Umpan Sardin potong memang menjadi kali ini. Mungkin kehadiran kumpulan ikan masih tidak diganggu dengan bot pemancing lain atau jaring nelayan berdekatan.

 Selepas air mula surut, kami mengalih kedudukan di lokasi tidak sampai 10 meter dari lokasi pertama. Hasilnya seekor Kerapu 4kg berjaya dinaikkan Eboi. Akhirnya merasa juga tarikan kasar ikan bersaiz besar. Dengan perambut kasar dan joran keras, kerja jadi lebih mudah walaupun agak sukar. Terdapat juga tarikan kasar pada trip kali ini yang berjaya melepaskan diri.

 Hasil kedua saya setelah hasil pertama gagal dinaikkan, seekor kerapu sekitar 1kg. Banyak juga ikan Duri yang kami naikkan kali ini untuk dibuat lauk seminggu. Biasanya ikan Duri bersaiz besar tetap akan dibawa balik bersama. Kebijaksanaan Eboi dalam menjimatkan belanja lauk harian memang terbukti berkesan.

Inilah hasil memancing kami pada hari ini. 4 Kerapu, 7 Tetanda, seekor Merah, Kaci dan Ikan Duri. Memang agak lumayan dan menggembirakan hati. Kami pulang ke pengkalan sekitar jam 6 petang disertai hujan gerimis separuh perjalanan.