Rabu, 28 Mac 2018

OverHoul Mercury 60hp, Piston Ring patah!

Kerosakan enjin bot adalah satu perkara yang amat berat kepada pemiliknya, lebih-lebih lagi kuasa kuda yang digunakan adalah besar. Secara logiknya, lagi besar enjin, lebih besar belanjanya. Hal ini telah berlaku kepada enjin kami dan proses baikpulih masih lagi berjalan.

 Proses pertama adalah membawa balik ke rumah, dan untuk lebih mudah, kesemua bahagian harus dipisahkan terlebih dahulu. Setelah dipisahkan kepada 3 bahagian, barulah ia mudah dibawa balik. Semua kerja dilakukan oleh saya dan Sharil di atas pelantar terapung di pengkalan.

 Bahagian tengah kami tinggalkan di bot, adalah lebih baik kesemua bahagian dibawa balik ke rumah kerana takut berjalan pula nanti. Oleh kerana masa yang terluang hanya waktu malam, semua kerja dibantu dengan sinaran lampu. 

 Sampai di rumah, bahagian flywheel perlu ditanggal terlebih dahulu dengan pembuka magnet khas. Anda boleh dapatkan maklumat di internet tentang peralatan tersebut. Kali ini pembuka magnet di pinjam dari seorang rakan yang dahulunya mempunyai alat ini. Untuk membuka ConRod, 2 lagi spanar khas perlu digunakan dan saiznya agak pelik. Sharil telah cuba membeli alat ini di kedai tetapi ia hanya dijual bersama 1 set spanar yang mahal harganya. Oleh yang demikian terpaksalah kami meminjam sekali lagi.

 Setelah dibuka, ternyata jangkaan kami jauh meleset. Bukan bearing yang rosak atau tanggal tetapi bahagian piston yang menjadi masalah. Bunyi yang terhasil di dalam enjin ini mungkin terhasil dari piston ring yang patah. Sharil mula mengesyaki hal ini apabila lubang plug yang disuluh mempunyai kesan pecah pada bahagian piston. Setelah dibuka, ia ternyata benar.

 Kerosakan pada piston dan ring ternyata tidak boleh digunakan lagi. Bahagian piston telah pecah dan masuk ke depan block. Piston ring juga patah juga masuk kebahagian depan. Untungnya tiada langsung kerosakan pada alur block seperti lubang atau garisan kasar pada laluan piston.

 Kerosakan lain termasuklah pada lubang piston ke 3 yang mana terdapat hakisan pada hujung block. Menurut kata Sharil ia dinamakan makan air. Besi pada bahagian tersebut seolah terhakis berkarat. Kami sendiri tidak pasti apakah punca sebenar ia berlaku.

 Setelah membuat pengiraan, ini adalah bahagian yang perlu diganti dan patut dibeli. Untuk pengetahuan, kebanyakan bahan ganti ini dari jenis yang murah, bukan yang asli. Bukan masalah wang ringgit yang dipersoalkan tetapi bahan gantian yang asli tidak ada dijual di satu tempat. Ada antara bahan gantian ini perlu dibeli di kedai berasingan dengan harga yang berlainan.



Semua barang gantian, menelan belanja rm1200 tidak termasuk kos sampingan. Kerja memasang di lakukan di rumah Sharil, itu pun jika semua kerja membaiki blok selesai dibuat. Perkembangan semasa enjin ini akan saya paparkan pada artikel akan datang datang.

Trip Ufo, mesin mahal beraksi..

Sasaran trip kali ini adalah Ikan Pari (ufo) sebagai hasil utama. Berdasarkan pada air dan umpan, kami hanya berusaha sebaik mungkin dan meletakkan hasil usaha sebagai rezeki yang ghaib. Abg Amer dan 2 org rakannya penumpang saya kali ini. Trip dimulakan dengan aktiviti menukar enjin dari bot B(Viva) ke bot A(mecedis). Gelaran Sharil kepada 2 bot ini. Hanya kami saja yang memahami maksud gelaran ini.

 Kerja dimulakan dengan membuka skru pengikat di kedua-dua bot. Tenaga 4 orang diperlukan bagi kerja mengangkat ke atas pelantar. Dua org di atas, seorang di tengkuk enjin dan satu lagi di kotak gear. Sedikit mudah berbanding dengan kerja bertiga. Memang berat! Kerja menukar terpaksa dilakukan kerana bot viva kurang selesa dan penuh dengan teritip. Manakala enjin mecedis masih dibaiki di darat.

 Pada trip air mati yang lepas, tiada satu pun ufo berjaya dinaikkan. Kebanyakannya putus di tengah jalan. Ikan di sini kadangkala bijak memilih perambut halus berbanding perambut kasar. Ini menjadi masalah kepada joran kecil yang kami gunakan. Namun kali ini set mahal milik Abg Amer berjaya membawa naik spesis ganas ini.

 Hasil kali ini hanya seekor sahaja yang berjaya dibawa naik sehingga ke petang. Sungguh pun cuma seekor, matlamat yang dicari telah tercapai. Kami pulang seawal jam 5 ptg ke pengkalan.

Rabu, 21 Mac 2018

Light and Micro jig Port Klang

Setiap pemancing mempunyai minat tersendiri kepada teknik memancing di kawasan mereka. Untuk teknik jigging di sekitar perairan Port Klang, kebiasaan nya slow jig sekitar 200-300 gram adalah yang biasa dipraktikkan di sini. Namun bagi kami, teknik ini seakan kurang sesuai dengan jiwa kami. Mengapa? Mungkin kerana tangan dan poket kami yang kecil tidak sesuai dengan jig berat. Yang ringan saja sudah mencukupi.


 Tebal Pipi yang biasa menyambar jig kami biasanya hanya di waktu air perlahan dan jernih sahaja. Namun biasanya kawasan tersebut pasti ada sangkut di dasarnya. Jika tidak berhati-hati ketika berhanyut di spot, ada kemungkinan besar jig anda akan di cukai!


 Kerajinan dan penggunaan peralatan yang tepat adalah kunci kejayaan trip ini. Adakalanya spot terpaksa di ulang lebih 2 pusingan bagi mendapatkan kedudukan tepat ikan berkumpul dan setiap spot akan diulang berulangkali sekiranya terdapat ragutan kasar dan penanda lain. Jika anda malas dan tidak mahu bertindak cepat, kemungkinan pulang dengan tangan kosong adalah tinggi. Tapi jangan pula anda hairan dengan rakan sebelah yang balik dengan hasil baik, dek kerana kerajinan mereka ketika trip berlangsung. Hasil mungkin tidak sebanyak mana tetapi kepuasan paling penting yang dicari.

 Hasil ini saya naikkan dengan jig 60gram pelangi dan adakalanya jig yang digunakan hanya seberat 35-45 gram saja. Ada cara dan tekniknya yang perlu dipelajari dan diikuti mengikut masa yang sesuai. 

 Hasil cuma 3 ekor, tetapi jika dilihat pada saiz, ia berbaloi. 


Hasil ini pula trip percubaan seorang rakan dari pengkalan lain yang baru belajar menggunakan peralatan jigging. Dapat juga kami salurkan ilmu yang sedikit ini kepada rakan lain yang berminat. Kepada yang berminat menempah trip Light dan mikro jig ini dengan kami, pastikan peralatan sesuai dibawa dan anda perlu ingat, setiap lokasi berbeza cara dan tekniknya. Selamat mencuba!

Ahad, 4 Mac 2018

Sekadar informasi, Teritip dan lumut bertindakbalas pada warna dan cahaya

Membersihkan teritip dan mengecat adalah rutin bulanan pada setiap pemilik bot. Kali ini saya akan kongsikan sedikit pengalaman dan tips berguna untuk anda. Cat antifoulin anti teritip biasanya sering digunakan pada bot yang berada di air masin. Fungsi cat ini adalah melindungi lapisan bawah bot dari dihuni teritip untuk suatu tempoh masa yang panjang. Jika bot sentiasa di atas air, mengikut pengalaman saya hanya sekitar 2-3 bulan sahaja sebelum ia dipenuhi teritip semula. Kebelakangan ini, saya mula mencuba pelbagai kajian kecil bagi mengurangkan kesan ini. Antaranya mengubah campuran asal supaya ia lebih berguna.

 Berdasarkan pemerhatian, teritip dan lumut akan lebih cepat tumbuh dan membesar sekiranya terdapat sinaran cahaya matahari yang terang. Ini terbukti apabila bahagian bot yang mengadap matahari akan lebih banyak teritip berbanding dengan bahagian bot yang terlindung di bahagian lain. Pertumbuhan ini dipengaruhi cahaya yang juga dipantulkan dari warna cat yang digunakan.

 Cuba lihat lumut di atas, bahagian cat yang terang lebih tebal pertumbuhannya dan bahagian cat yang gelap, sedikit lumut yang tumbuh. Perbezaan ini amat ketara dengan pertumbuhan teritip pada bahagian cat yang sama dibawah.

 Setelah lumut digosok keluar, cat telah tanggal dan teritip banyak di kawasan tersebut. Manakala tiada teritip di kawasan cat yang lebih gelap. Cat antifoulin pula lebih mudah tertanggal dibandingkan dengan cat campuran yang lebih gelap. Oleh kerana cat ini mudah tanggal, tidak mustahil ia akan mencemari kawasan laut kita. Mungkin inilah salah satu faktor mengapa air laut kini tercemar. Maklumat ini mungkin anda boleh gunakan di masa akan datang sebagai nilai tambah dalam kerja selenggara bot yang anda miliki.

 Perbezaan ketara pada kedua belah bahagian cat ini dapat dilihat disini. Bahagian cat yang gelap lebih mudah dicuci dan tidak tanggal sepenuhnya. Ia juga kurang teritip tumbuh mungkin disebabkan kurangnya pantulan cahaya. Bagaimana ia berlaku?? Apa yang saya lakukan adalah campurkan cat antifoulin ini dengan cat minyak bewarna hitam, supaya warna cat menjadi lebih gelap. Ujian ini telah saya lakukan selama 6 bulan dan hanya disedari pada hari ini. 

Apa kepentingan cat ini sehingga ia boleh membantu kita? Apabila bot telah dicat, teritip akan kurang tumbuh, bot akan lebih laju, lebih ringan, kurang beban pada enjin, jimat minyak, jimat masa, masa lebih panjang ketika memancing dan jimat waktu selenggara kerana teritip yang dicuci adalah sedikit. Sekaligus menjimatkan belanja yang keluar dari poket anda! Maklumat kecil tapi berguna. Sekadar informasi, untuk anda..

Rabu, 28 Februari 2018

Sampan replika 3D

Membina sampan replika kayu adalah salah satu dari kemahiran saya. Kali ini, seorang pelanggan blog meminta untuk membina sampan 3D yang bentuknya hanya separuh sahaja! Sebelum ini, replika berbentuk meja pernah saya buat.

Penilaian yang dibuat pada perjumpaan dengan pelanggan tersebut memberikan saya idea baru dan pandangan luas mengenai projek terbaru ini. Hasil projek memang agak menakjubkan sedangkan saya sendiri pun agak tidak yakin ia boleh dilaksanakan.

Proses biasa pada permulaaan

Ukuran sekitar 2 1/2 kaki lebar

Setelah siap, barulah ia dipotong di sudut yang diperlukan.

Nampak pelik tetapi inilah hasil yang berjaya dipamerkan.

Setelah siap, sampan ini akan dilekatkan pada dinding bangunan yang dilukis di kawasan rekriasi Port Dikson. Gambarannya adalah, seolah-olah sampan ini keluar dari lukisan di dinding. Sangat kreatif dan mencabar!

Ke Jarak kita!

Trip yang dirancang pada bulan januari lepas, akhirnya berlangsung dengan jayanya pada 24/2. Pemilihan tarikh adalah hasil kerja Abang Amer dan kesemua ahli trip adalah krew blog pancingport.blogspot dan 2 rakan Eboi yg baru saya kenali. Walaupun rancangan awal hanya untuk jigging, akhirnya pancingan dasar banyak membantu dalam menambah hasil tangkapan yang boleh dianggap kurang pada hari tersebut.

Pemandu pancing kami digelar Lie Bapak. Bot berukuran 33 kaki beserta enjin 150hp kembar memang cukup laju. Namun perjalanan ke lokasi mengambil masa yang agak lama sekitar 2 jam. Lokasi pertama adalah kawasan lubang dan hanya Ikan Tok Mudim yang berjaya kami naikkan.

Memandangkan tarikh yang dipilih adalah air mati, hampir kesemua lokasi sesuai untuk jigging. Namun seperti biasa, slow jig sekitar 120-200 gram adalah yang paling banyak digunakan. Ini memberikan satu pengalaman baru buat saya dan Sharil kerana di Port klang, kami hanya menggunakan jig sekitar 60 hingga 120 gram sahaja.

Kedalaman kawasan ini hampir sama dengan kawasan kami di Port Klang, cuma ada sesetengah kawasan yang berdekatan Pulau, lebih cetek dan berkarang. Sangkut memang ada, jig saya saja 3 biji yang dicukai!

Spot kedua adalah kawasan unjam dasar yang berjaya menghasilkan 3 Haruan tasik dan seekor Jenahak. Salah satunya milik mesin Elektrik Abg Amer, namun yang berjaya didaratkan hanya seekor sahaja. Seekor dari hasil yang menyangkut terpaksa dihela naik hampir sejam dengan set jigging akhirnya terlepas di hujung gancu. Setelah 3 kali joran bertukar tangan, ikan yang saya jangka melebihi 10kg akhirnya terlepas.
Spot popping yang kami kunjungi juga tidak membuahkan hasil memandangkan tiada tanda-tanda ikan masuk dan kebanyakan yang menyambar keliling bot langsung tidak mau menjamah umpan kami. Berbagai jenis jig dan umpan yang kami campak ke air, hanya sia-sia belaka. Perkara biasa yang sering saya lihat ketika air mati tidak berarus. Sama saja di mana-mana kawasan lain yang saya pernah kunjungi.

Akhirnya, joran besar milik Abang Amer saya gunakan sebagai cara terakhir untuk mencari hasil supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Walaupun teknik apollo yang kami gunakan di unjam sekitar pulau, ikan umpan juga amat kurang. Hasil kerajinan kami, beberapa ekor ikan Sardin kecil berjaya kami kumpul dan bot bergerak semula ke spot unjam Haruan tasik tadi. Akhirnya, saya berjaya menaikkan seekor Haruan tasik hampir 10kg di spot terakhir. Pemandu pancing kami ketawa melihat cara saya memasang umpan dasar dengan pemberat jig 200 gram. Cara yang biasa saya gunakan di Port Klang berhanyut menggunakan set jigging.

Sebanyak 3 tarikan kasar yang saya perolehi dengan teknik ini dan salah satunya berjaya dinaikkan kurang dari 5 minit! Mata kail kembar yang digunakan di letak pada kepala dan tengah badan ikan umpan. Di spot ini juga Eboi berjaya menaikkan sotong bersaiz besar yang pertama kali saya lihat dalam hidup. Almaklumlah, saya memang tidak pernah mencandat sotong. Mungkin saya cuba di lain kali. Kami bertolak balik pada jam 7 malam dengan kelajuan penuh yang juga memakan masa lama. Sampai di pengkalan, kami bersiap pulang ke Port Klang pada malam itu juga. Memandangkan ada trip jigging yang perlu saya bawa keesokkannya. Pada sesiapa yang ingin membuat trip di kawasan ini, pastikan peralatan sampingan dibawa bersama sebagai Insuran di kala ikan menyepikan diri. Sekadar informasi, untuk anda!

Trip bulan february