Ahad, 4 Mac 2018

Sekadar informasi, Teritip dan lumut bertindakbalas pada warna dan cahaya

Membersihkan teritip dan mengecat adalah rutin bulanan pada setiap pemilik bot. Kali ini saya akan kongsikan sedikit pengalaman dan tips berguna untuk anda. Cat antifoulin anti teritip biasanya sering digunakan pada bot yang berada di air masin. Fungsi cat ini adalah melindungi lapisan bawah bot dari dihuni teritip untuk suatu tempoh masa yang panjang. Jika bot sentiasa di atas air, mengikut pengalaman saya hanya sekitar 2-3 bulan sahaja sebelum ia dipenuhi teritip semula. Kebelakangan ini, saya mula mencuba pelbagai kajian kecil bagi mengurangkan kesan ini. Antaranya mengubah campuran asal supaya ia lebih berguna.

 Berdasarkan pemerhatian, teritip dan lumut akan lebih cepat tumbuh dan membesar sekiranya terdapat sinaran cahaya matahari yang terang. Ini terbukti apabila bahagian bot yang mengadap matahari akan lebih banyak teritip berbanding dengan bahagian bot yang terlindung di bahagian lain. Pertumbuhan ini dipengaruhi cahaya yang juga dipantulkan dari warna cat yang digunakan.

 Cuba lihat lumut di atas, bahagian cat yang terang lebih tebal pertumbuhannya dan bahagian cat yang gelap, sedikit lumut yang tumbuh. Perbezaan ini amat ketara dengan pertumbuhan teritip pada bahagian cat yang sama dibawah.

 Setelah lumut digosok keluar, cat telah tanggal dan teritip banyak di kawasan tersebut. Manakala tiada teritip di kawasan cat yang lebih gelap. Cat antifoulin pula lebih mudah tertanggal dibandingkan dengan cat campuran yang lebih gelap. Oleh kerana cat ini mudah tanggal, tidak mustahil ia akan mencemari kawasan laut kita. Mungkin inilah salah satu faktor mengapa air laut kini tercemar. Maklumat ini mungkin anda boleh gunakan di masa akan datang sebagai nilai tambah dalam kerja selenggara bot yang anda miliki.

 Perbezaan ketara pada kedua belah bahagian cat ini dapat dilihat disini. Bahagian cat yang gelap lebih mudah dicuci dan tidak tanggal sepenuhnya. Ia juga kurang teritip tumbuh mungkin disebabkan kurangnya pantulan cahaya. Bagaimana ia berlaku?? Apa yang saya lakukan adalah campurkan cat antifoulin ini dengan cat minyak bewarna hitam, supaya warna cat menjadi lebih gelap. Ujian ini telah saya lakukan selama 6 bulan dan hanya disedari pada hari ini. 

Apa kepentingan cat ini sehingga ia boleh membantu kita? Apabila bot telah dicat, teritip akan kurang tumbuh, bot akan lebih laju, lebih ringan, kurang beban pada enjin, jimat minyak, jimat masa, masa lebih panjang ketika memancing dan jimat waktu selenggara kerana teritip yang dicuci adalah sedikit. Sekaligus menjimatkan belanja yang keluar dari poket anda! Maklumat kecil tapi berguna. Sekadar informasi, untuk anda..