Trip yang dirancang pada bulan januari lepas, akhirnya berlangsung dengan jayanya pada 24/2. Pemilihan tarikh adalah hasil kerja Abang Amer dan kesemua ahli trip adalah krew blog pancingport.blogspot dan 2 rakan Eboi yg baru saya kenali. Walaupun rancangan awal hanya untuk jigging, akhirnya pancingan dasar banyak membantu dalam menambah hasil tangkapan yang boleh dianggap kurang pada hari tersebut.
Pemandu pancing kami digelar Lie Bapak. Bot berukuran 33 kaki beserta enjin 150hp kembar memang cukup laju. Namun perjalanan ke lokasi mengambil masa yang agak lama sekitar 2 jam. Lokasi pertama adalah kawasan lubang dan hanya Ikan Tok Mudim yang berjaya kami naikkan.
Memandangkan tarikh yang dipilih adalah air mati, hampir kesemua lokasi sesuai untuk jigging. Namun seperti biasa, slow jig sekitar 120-200 gram adalah yang paling banyak digunakan. Ini memberikan satu pengalaman baru buat saya dan Sharil kerana di Port klang, kami hanya menggunakan jig sekitar 60 hingga 120 gram sahaja.
Kedalaman kawasan ini hampir sama dengan kawasan kami di Port Klang, cuma ada sesetengah kawasan yang berdekatan Pulau, lebih cetek dan berkarang. Sangkut memang ada, jig saya saja 3 biji yang dicukai!
Spot kedua adalah kawasan unjam dasar yang berjaya menghasilkan 3 Haruan tasik dan seekor Jenahak. Salah satunya milik mesin Elektrik Abg Amer, namun yang berjaya didaratkan hanya seekor sahaja. Seekor dari hasil yang menyangkut terpaksa dihela naik hampir sejam dengan set jigging akhirnya terlepas di hujung gancu. Setelah 3 kali joran bertukar tangan, ikan yang saya jangka melebihi 10kg akhirnya terlepas.
Spot popping yang kami kunjungi juga tidak membuahkan hasil memandangkan tiada tanda-tanda ikan masuk dan kebanyakan yang menyambar keliling bot langsung tidak mau menjamah umpan kami. Berbagai jenis jig dan umpan yang kami campak ke air, hanya sia-sia belaka. Perkara biasa yang sering saya lihat ketika air mati tidak berarus. Sama saja di mana-mana kawasan lain yang saya pernah kunjungi.
Akhirnya, joran besar milik Abang Amer saya gunakan sebagai cara terakhir untuk mencari hasil supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Walaupun teknik apollo yang kami gunakan di unjam sekitar pulau, ikan umpan juga amat kurang. Hasil kerajinan kami, beberapa ekor ikan Sardin kecil berjaya kami kumpul dan bot bergerak semula ke spot unjam Haruan tasik tadi. Akhirnya, saya berjaya menaikkan seekor Haruan tasik hampir 10kg di spot terakhir. Pemandu pancing kami ketawa melihat cara saya memasang umpan dasar dengan pemberat jig 200 gram. Cara yang biasa saya gunakan di Port Klang berhanyut menggunakan set jigging.
Sebanyak 3 tarikan kasar yang saya perolehi dengan teknik ini dan salah satunya berjaya dinaikkan kurang dari 5 minit! Mata kail kembar yang digunakan di letak pada kepala dan tengah badan ikan umpan. Di spot ini juga Eboi berjaya menaikkan sotong bersaiz besar yang pertama kali saya lihat dalam hidup. Almaklumlah, saya memang tidak pernah mencandat sotong. Mungkin saya cuba di lain kali. Kami bertolak balik pada jam 7 malam dengan kelajuan penuh yang juga memakan masa lama. Sampai di pengkalan, kami bersiap pulang ke Port Klang pada malam itu juga. Memandangkan ada trip jigging yang perlu saya bawa keesokkannya. Pada sesiapa yang ingin membuat trip di kawasan ini, pastikan peralatan sampingan dibawa bersama sebagai Insuran di kala ikan menyepikan diri. Sekadar informasi, untuk anda!