Kerosakan pada kotak gear berlaku sekali lagi. Masih dengan kotak gear lama yang sudah dibaiki dahulu. Kotak gear sekarang adalah kotak gear 55hp yang saya gunakan sebagai kotak gear gantian. Ia berlaku ketika pulang dari trip sangkar Pulau Ketam di laluan bot menghala ke Sang Lang. Balak besar yang melintang terapung di dalam air, tidak kelihatan langsung menjadi punca kerosakan ini.
Setelah berlaku perlanggaran, bot berjaya dipandu seperti biasa. Tidak lama selepas itu, bunyi seperti kayu patah dapat didengari oleh semua ahli trip. Bunyi ini konsisten setiap beberapa saat sekiranya kelajuan bertambah.
Seperti yang dijangkan, pinion gear pecah. Sehari selepas itu, barulah kerosakan sebenar dapat dilihat setelah ia dibawa ke kedai untuk dibaik pulih.
Saya bernasib baik kerana hanya bahagian ini saja yang pecah. Bahagian lain masih elok dan boleh digunakan semula. Sementara ia menunggu untuk dibaik pulih, kotak gear gantian dipasangkan sebagai ganti.
Selain perihal kotak gear yang rosak, satu lagi enjin gantian yang saya beli sebelum pkp melanda, sedang melalui proses baik pulih. Memandangkan kedai sudah dibuka semula dan belanja sudah cukup, boleh lah ia dibaikpulih.
Enjin ini dibeli dengan harga murah, dengan kondisi kerosakan dalaman yang agak kritikal. Bunyi bearing memang kuat, macam nak gugur. Kebanyakan skrunya sudah berkarat dan perlu diganti baru. Mengikut kata Sharil, ada bahagian tertentu dipasang terbalik oleh mekanik yang membuatnya. Kemungkinan besar menjadi punca utama ia rosak semula.
Mounting bawah dan atas juga perlu ditukar. Skru pengikat terpaksa dipotong kerana tidak boleh dibuka akibat berkarat. Walaupun status enjin ini rosak, tetapi ia masih boleh di hidupkan.
Saya menganggarkan belanja untuk membaiki enjin ini adalah sekitar 3k. Ini termasuk menukar slip dan piston jika perlu. Kepakaran dan kecekapan Sharil menjadi punca utama mengapa saya yakin dengan kerja tangan nya. Enjin ini akan dijadikan enjin gantian sekiranya ada diantara enjin kami yang lain rosak. Pengalaman dari kesilapan lepas menjadikan ia satu pelajaran penting dalam pengurusan sewa bot kami. Sekiranya ada enjin gantian, operasi masih boleh diteruskan sementara enjin yang rosak dibaiki.