Khamis, 25 November 2021

Kotak gear meragam, poket koyak!

 Kerosakan kotak gear saya yang belum berjaya diselesaikan, berjangkit pula dengan kotak gear spupu. Bunyi pelik yang disangka berpunca dari dalam enjin, rupanya datang dari kotak gear yang di masuki air masin.

Bunyi pelik tersebut dikesan ketika pulang dari trip memancing Pulau ketam. Bunyi yang terhasil menyerupai bunyi berpasir dan boleh didengari dengan jelas ketika separuh kelajuan.

Disebabkan hal tersebut, spupu saya menyangka ia berpunca dari dalam enjin. Nyaris enjin tersebut kami bawa naik untuk dibaiki. Setelah diperiksa oleh Sharil, rupanya kotak gear yang bermasalah.

Akhirnya masalah dapat dikesan ketika penutup lubang minyak dibuka. Minyak tiada, tetapi air yang banyak keluar. Setelah dibawa ke kedai, salah satu bahagian yang rosak adalah pinion gear.

Selain itu terdapat 3 set bearing yang bekarat dan terpaksa ditukar. Nilai barang gantian adalah rm3800! 

Memandangkan ia kelihatan agak mahal, kami cuba mencari kotak gear lain. Jika difikirkan secara logik, ia memang normal kerana kotak gear ini jenis besar tidak seperti kotak gear saya yang kecil. Sekarang barulah kami tahu perbezaan antara kotak gear besar dengan kotak gear kecil. Beza nya bila ia rosak, kos baikpulih nya!


Ketika saya sedang sibuk menyiapkan sampan dirumah, Abg Emi dan Sharil bergegas menghubungi saya. Mereka menemui sebuah enjin lama yang ingin dijual. Masalahnya enjin tersebut berada di Pulau pinang. Saya dan Abg Emi bergegas ke sana pada petang itu juga kerana risau enjin tersebut akan terlepas ke tangan orang lain.

Perjalanan selama lebih 6 jam yang memeritkan akhirnya berhasil. Satu unit enjin mercury 60hp bahagian atas sahaja, dibeli dengan harga yang cukup berbaloi. Sebenarnya bahagian tersebut diperlukan untuk membaik pulih enjin gantian saya. 

Sambil menyelam, minum air. Sambil membeli bahagian tersebut, Abg Emi mencari kotak gear. Hasilnya, pada pagi keesokan harinya, 1 kotak gear berjaya diperolehi dari kenalan rapat individu yang menjual bahagian enjin tersebut.

Tetapi kotak gear tersebut tidak dibeli. Kami balik semula ke rumah keesokkan paginya. 

Keesokan harinya, 1 lagi enjin berjaya ditemui di Morib. Enjin tersebut baru ditukar blok kerana bocor. Kondisi enjin sangat baik walaupun ia agak lama. Enjin tersebut berjaya dibeli dengan harga rm6500 seketul! Kerja membawa balik dengan menggunakan kereta Abg Emi. Cabut kotak gear dahulu, kemudian bahagian enjin atas, masuk ke bahagian tempat duduk belakang.


Semua kerja selesai kira-kira jam 4 petang. Lain yang dicari, lain pula yang dapat. Rasanya lebih berbaloi jika beli sebiji kerana banyak bahagian yang boleh disimpan sebagai bahan ganti. Harga akan lebih mahal sekiranya dibeli berasingan.