Khamis, 19 September 2019

Projek Panel Solar

Sebuah lagi bot kami telah dihantar ke sebuah lombong tinggal di Dengkil Selangor, untuk kerja-kerja pemasangan panel solar. Kerja ini dijangka memakan masa selama 2 bulan.

 Lori 3 tan hanya mempunyai panjang 20 kaki, tetapi panjang bot 28 kaki termasuk sayap belakang. Lagi 8 kaki terkeluar di belakang. Maka laluan terbaik adalah jalan dalam melalui kampung ke kampung. Dari simpang Lombong ke Bukit Changgang, Boundry, kampung orang asli Bukit Serdang dan terus ke lombong berdekatan. Laluan ini bersambung dan dipisahkan oleh jalan utama dan jambatan besi untuk melepasi sungai. Walaupun separuh darinya adalah jalan pasir, ia masih boleh dilalui kenderaan berat. 

 Sampai di lokasi, bot diturunkan dengan bantuan jentera pula. Kenapa perlu bersusah payah jika ada cara yang lebih senang dan selamat. Ia hanya disedari apabila salah seorang petugas memberitahu bahawa terdapat jentera yang boleh digunakan di situ. Bot ini memang berat sungguh pun mempunyai lantai dan dinding yang nipis. Dengan bantuan 7 tenaga manusia, ia berjaya dibawa naik dan turun semula.

 

 Lokasi bot diletak di lereng bagi memudahkan tugas menolak ke air setelah enjin dipasang nanti. 

Sebelum kerja pemasangan dilakukan, sebuah pelantar pemasangan dan penurunan dibina bagi memudahkan kerja menarik pelantar ke dalam air. Panel solar ini akan terapung di atas permukaan air ketika beroperasi. Tugas menarik dan tunda tersebut akan dilakukan oleh operator bot.

Enjin di pasang hanya ketika kerja sudah mula berjalan.

 
 Setelah semuanya siap, barulah latihan memandu bot dijalankan. Bukan mudah bagi seorang operator bot yang baru mula belajar lebih-lebih lagi jika ada masalah komunikasi. Latihan dimulakan dari cara operasi enjin, kemahiran membawa dan kemahiran khas lain yang penting. Namun semua ini hanya sekadar kemahiran asas sahaja.

 Kemahiran khas bot bukan sekadar tahu bawa saja tetapi mesti mahir dalam beberapa aspek lain seperti pusingan, belok tajam, parking, berhenti, menunda, menarik dan sebagainya. Perlu pandai membaca arah angin, sentiasa peka dengan keadaan sekitar dan arahan yang diberi. Semua kemahiran ini tidak boleh dipelajari hanya dalam masa seminggu sahaja. Ia memerlukan masa dan latihan khas yang kebanyakannya adalah praktikal.

Selesai tugas melatih selama 2 hari dan bot diserahkan untuk kerja seterusnya.