Jumaat, 13 September 2019

Antara ikan, pemancing dan rezeki..

Ramai antara kita beranggapan bahawa semua pemancing bergantung kepada nasib semata-mata. Jika ini menjadi pegangan, maka kita bukan lah pemancing sejati. Bawa saja joran, pasang umpan dan buat lontaran sesuka hati. Ramai pemancing yang berjaya mempunyai ilmu tersendiri samada dipelajari atau diwarisi dari ahli keluarga. Maksud Dipelajari sendiri adalah melalui pengalaman ketika melihat orang lain atau pemerhatian sendiri. Manakala ada ilmu ini diwarisi dari ayah atau datuk yang sudah pakar tentang hal tersebut.


Spot yang jarang mengecewakan. Namun banyak halangan yang perlu ditempuh di sini.

Tidak kisah dari mana pun ilmu tersebut dipelajari, yang penting kita berilmu dan biasanya jika ada kemahiran, kebarangkalian kita pulang dengan hasil tangkapan adalah tinggi. Jangan hanya sekadar berharap dan bergantung kepada rezeki semata-mata. Perlu ada usaha dan sebaiknya semaksima mungkin.

Umpan ikan dan udang hidup membuahkan hasil.

Jika kita sudah pandai dan mahir, jangan sombong dan takbur. Ajarilah orang lain supaya ilmu tersebut boleh diwarisi dan berguna untuk orang lain dan ingat lah, semua yang kita dapat tersebut hanyalah pinjaman semata-mata dari yang maha Esa. Mungkin ilmu yang kita ajarkan tadi boleh membantu untuk mencari rezeki dan berguna padanya. Tak perlu risau dan takut kehilangan kerana orang yang suka memberi ilmu kepada orang lain biasanya mendapat ramai kawan dan di hormati. Malahan ilmunya pasti bertambah.

Lokasi yang dulunya terganggu dengan aktiviti mengorek pasir dan pukat tunda, kini berpenghuni semula.

Disamping mempunyai ilmu, kita perlu memelihara persekitaran tempat kita memancing. Tidak merosak dan memusnah sesuka hati. Ikan yang tidak boleh dimakan harus dilepaskan kembali. Jangan buat sesuka hati. Ambil hasil tangkapan yang sesuai saja. Lepaskan kembali yang terlalu kecil sebagai simpanan di masa depan. Walaupun ia berat kepada kita, tetapi ini saja yang kita mampu lakukan sebagai langkah pemuliharaan. Tak perlu kita salahkan pihak lain, kerana semua yang bergelar pemancing harus bertindak sama. Jika kita asyik menyalahkan pihak lain, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai.


Impian dan trophy pemancing muara di Port Klang.

Didiklah anak-anak kita supaya menjadi generasi pemancing yang berwibawa dan tahu semua peraturan ini. Mana tahu suatu hari nanti mereka ini bakal membuat perubahan. Usaha ini nampak kecil tetapi kadangkala boleh membantu. Paling ringkas tentang membuang sampah dan sebagainya. Jika kita mempunyai tukun yang banyak tetapi ia dilitupi sampah dari darat yang kita buang, ia tidak akan berguna.

Spesis yang dulu jarang ditemui kini kembali.

Banyak lagi perkara yang boleh kita buat walaupun kecil tetapi membantu dalam perubahan. Semuanya bergantung pada kita samada mahu atau pun tidak. Pihak berkuasa tempatan juga memainkan peranan penting kepada pemancing. Jalankanlah amanah dengan baik dan semoga usaha anda semua diberkati. Jangan kita sebagai pemancing mencerca tugas mereka. Sokong dan bantulah mereka.

Hasil penguatkuasaan berterusan, lokasi yang dulu kerap kosong, kini berisi. Terima kasih kepada pihak berkuasa yang komited dalam menjalankan tugasan.