Khamis, 28 Mac 2019

Trip Mencuci Teritip

Trip mencuci teritip telah diadakan semula pada 25/3 dan disertai oleh anggota grup whatsapp yang berminat. Encik Ujang dan Encik Pian adalah mangsa rela kali ini. Semua kerja berjaya diselesaikan dalam tempoh 2 jam dan aktiviti seterusnya memancing pada sebelah petang.
Kerja mencuci teritip adalah tugasan wajib bagi pemilik bot seperti kami setiap 2 ke 3 bulan. Selepas dibersihkan, ia perlu dicat supaya dapat bertahan lama. Cat yang digunakan pula bukan cat biasa, tetapi cat khas untuk manghalang pertumbuhan teritip. Kerja menanggal teritip boleh dilakukan diatas pelantar atau di dalam air. Tetapi kerja mengecat perlu diatas pelantar. Belum ada lagi orang mengecat di dalam air. Kalau ada bagitau kami. Mungkin kami boleh gunakan khidmatnya.

Sebagai balasan, saya bawakan mereka untuk memancing sehingga ke petang. Oleh kerana waktu ini air besar dan keruh, sasaran kami adalah ikan Sembilang atau Gemang. Beberapa lokasi panas kami kunjungi dan hanya 2 ekor berjaya dinaikkan. Umpan terbaik adalah udang pasar bersaiz besar. Ketika ini air yang keruh dan laju menyebabkan udang hidup kurang mendapat sambutan.

Hasil pada hari ini 2 ekor Sembilang dan beberapa ekor Ikan Gelama emas yang cantik-cantik saiznya. Kepada yang berminat untuk menyertai trip mencuci teritip ini, boleh menghubungi kami. Anda hanya perlu membawa diri saja dan yang penting tidak takut basah. Trip seterusnya akan diadakan pada hari Rabu 10/4/2019 dan Khamis 11/4/2019.