Memiliki bot besar dan cantik adalah impian setiap pemancing laut. Semuanya bergantung pada kemampuan poket dan diri masing-masing. Membeli bot baru bukan lah semudah disangkan. Tersilap membeli, anda mungkin akan menyesal kemudian hari. Jadi perlu pilih yang betul dan tepat.
Kali ini Abg Emi berminat untuk menukar bot lama kepada yang lebih besar dan selesa. Enjin 60hp yang dicari telah dibeli dengan harga Rm9500. Enjin tersebut dibeli di sebuah kedai enjin di Pandamaran. Lokasi sama dengan enjin yang kami beli sebelum ini. Terdapat 5 buah enjin yang sama jenis tetapi berlainan sifat. Pilihan Abg Emi adalah gearbox besar dan paling kurang kecacatan. Seperti biasa, kami memang agak cerewet dalam memilih enjin yang akan kami beli. Semua enjin yang ada kami hidupkan di dalam kolam air satu persatu dan selepas itu barulah pilihan dibuat. Setelah berpuas hati dan membayar deposit, ia diambil pada keesokan harinya.
Selepas selesai hal enjin, kami ke Kuala Selangor 2 hari selepas itu untuk melihat perkembangan terbaru bot fiber yang telah ditempah. Oleh kerana masa siang agak kurang, kami ke kilang pada waktu malam. Sampan baru ini berharga Rm8500 berukuran 25 x 6.5 x 30' dan lantai kosong. Hanya terdapat 2 kotak ditengah sebagai tempat menyimpan barang.
Bentuk sampan sudah mula kelihatan setelah ia dikeluarkan dari acuan. Proses selepas ini lebih kepada menambah tulang gading dan seterusnya menampal fiber sehingga ke bentuk bot sebenar. Habis gatal satu badan bila memasuki kawasan kilang ini. Apakan tidaknya, sisa habuk fiber glass yang tajam mudah melekat kepada kulit. Lebih-lebih lagi kulit manja seperti kami ni. Bukan kami saja rupanya yang hadir disini, ada juga pemilik bot lain yang juga melihat perkembangan bot yang mereka sudah tempah.
Selesai membelek dan telah berpuas hati, kami bergerak untuk makan malam dan pulang ke rumah selepas itu.