Malang tidak berbau, enjin yang kami gunakan sekian lama akhirnya rosak ketika trip jigging. Enjin ini telah agak lama digunakan sejak ia di beli. Kalau rosak pun memang patut. Belum pun sampai dilokasi memancing, enjin telah berhenti dan mula mengeluarkan bunyi pelik. Setelah difikirkan baik buruknya, kami mengambil jalan untuk berhanyut saja mengikut arus.
Ketika ini apa yang mampu kami lakukan hanyalah memancing sambil menunggu bantuan dari rakan kami, komando_sg(Jemik). Oleh kerana faktor saiz bot yang besar, ramai yang tidak sanggup untuk membantu. Kebanyakan bot yang berada berdekatan pula hanya bot pukat hanyut. Kami beruntung hanya berada di sebelah tepi dengan arus surut dan tiupan angin menghala ke Tanjung Rhu.
Selama berhanyut, apa yg boleh kami buat adalah menurunkan jig besi. Namun, laluan hanyut dipenuhi jaring tagan sehingga lah kami melepasi kawasan tesebut. Ada juga jig kami yang tersangkut di jaring kerana tidak perasan di mana arah lintangan jaring yang dilabuh.
Ketika berhanyut, ada spot baru yang dapat ditanda dan berisi. Antaranya Talang Raya hampir 8kg yang dinaikkan Abul, terpaksa dikejar dengan bot. Ketika itu bot penunda yang dibawa oleh Jemik baru saja sampai di lokasi pada jam 2 petang. Anda bayangkan dari jam 9 pagi kami hanyut, jam 2 petang baru dapat bantuan. Itupun dari bot kami sendiri.
Untunglah ada Jemik, dia kini bekerja di Pulau Indah. Keluar dari lokasi bekerja membantu kami dari jauh. Kadangkala nilai persahabatan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Di waktu begini kita dapat menilai siapa kawan dan siapa lawan.
Setelah berbincang, lebih baik kami cuba memancing sebentar sebelum bergerak masuk ke muara. Sekurang-kurangnya ada juga hasil yang boleh dibawa balik. Bot kami ditarik dengan bot kedua berulang kali di spot yang sama dan berjaya menghasilkan 3 ekor jenahak hasil kerja tangan Eboi.
Kami bergerak pulang sekitar jam 6.30 ptg masuk ke muara semula. Perjalanan pulang dengan ditunda memakan masa yang cukup lama. Kami sampai ke pengkalan sekitar jam 9 malam dengan pengalaman dan letih yang sukar digambarkan!