Enjin sangkut yang kerap digunakan pasti akan berlaku kerosakan. Sampai masanya, sebahagian enjin akan mula rosak, sekurang-kurangnya berkarat dimakan air masin. Kali ini enjin 60hp kami mengalami kerosakan Mounting, iaitu getah penahan yang memegang enjin agar tidak bergegar. Terdapat 2 bahagian, atas dan bawah, kedua nya terpaksa ditukar. Untunglah kerana salah seorang dari kami adalah mekanik di kilang Proton. Siapa lagi kalau bukan Pemandu Pancing kami, En Sharil.
Unit atas yang rosak berada di bawah enjin, manakala bahagian bawah berada di kaki kotak gear. Keduanya pecah akibat dari kerja menarik pokok yang kami buat untuk membina tukun. Bahagian skru yang menjadi pengikat, sudah berkarat dan tidak boleh dibuka lagi. Setelah berbincang dan mengira kos baik buruknya, akhirnya bahagian ini terpaksa kami potong dan skru gantian terpaksa dicari.
Kerja dimulakan di pengkalan, namun akhirnya terpaksa di bawa balik ke rumah. Enjin ini di pisahkan dari unit bawah supaya lebih ringan dan memudahkan kerja mengangkat. Proton Satria milik Sharil jadi mangsa kali ini. Memandangkan tuan punya kenderaan memilih sendiri untuk membawanya, saya pula yang risau kerana enjin ini memang berat walaupun sudah dipisahkan ke dua bahagian.
Setibanya di rumah, enjin dinaikkan ke atas pelantar supaya kerja menjadi lebih mudah. Bahagian penutup bawah di buka terlebih dahulu dan bahagian enjin perlu diturunkan. Tidak ada cara lain kerana bahagian yang rosak berada di bawahnya. Setelah penutup ditanggalkan, terdapat 6 skru kiri dan kanan yang memegang bahagian atas enjin. Empat daripadanya telah berkarat hasil kakisan dari air masin.
Setelah bersusah payah melonggarkan skru, akhirnya kesemua skru berjaya dibuka tanpa ada yang patah. Hanya tangan mekanik saja yang tahu bagaimana ia dibuat. Saya hanya mampu membantu dengan komen yang tidak putus-putus dari pagi. Setelah dibuka dan ditanggalkan, bahagian ini ditanggalkan dengan gandar kayu diikat rantai bersama 3 pempantu. Memang berat! Setelah dipisahkan, barulah nampak unit yang rosak.
Kerja memotong menggunakan grinder besi dengan berhati-hati. Kepala skru perlu ditanggalkan dari badannya.
Ketuk keluar dengan tukul besi
Selepas dipisahkan, skru dibahagian tersebut tidak dapat di longgarkan. Skru telah rosak dan seolah melekat akibat dari kakisan dan pengaratan. Jalan paling mudah, potong dan gantikan yang baru. Selesai dipotong, ia diketuk keluar dan bahagian tersebut berjaya ditanggalkan. Begitu juga dengan unit bawah yang rosak, terpaksa juga dipotong. Setelah selesai, unit yang rosak dikeluarkan dan diganti dengan yang baru. Memandangkan skru perlu diganti, kami mengambil keputusan untuk membeli skru gantian di kedai menjual skru, bukan di kedai enjin bot. Tujuannya, mengurangkan kos. Harga skru steel tahan karat yang kami beli hanya rm7.80 per set, berbanding 4 set beharga 150 di kedai enjin!
Alang alang beli sekali dengan skru kanopi sekali. Lebih murah berbanding di kedai biasa.
Setelah membeli skru, kami menyambung kerja memasang unit baru dan kerja susulan. Bahagian yang berkarat di kikis, dicuci dengan sabun dan di cat semula dengan cat tahan panas. Cat tersebut boleh dibeli di kedai menjual cat.
Setelah siap, kesemua bahagian ini dicantum semula. Bahagian penyambung enjin atas, dikikis bagi menghilangkan kesan gam gasket yang lama dan gam yang baru di lekatkan semula. Kerja dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan. Sekali lagi, bahagian ini di angkat mengunakan gandar kayu dan dicantum semula. Setelah selesai, skru dipasangkan semula dan kesemua pecahan di tampal dengan gam campur 3 tan. Gam ini bertindak melindungi bahagian pecah supaya tidak berlaku pecahan yang lebih besar. Walaupun tiada jaminan, sekurang-kurangnya ada.
Gam campur yang kami gunakan untuk menampal pecah dan retak..
Unit mounting yang rosak dan pecah hasil kerja berat. Harga bagi unit bawah adalah rm250 bagi 2 set dan rm140 bagi set bahagian atas. Unit bawah terpisah 2 manakala unit atas bercantum. Terdapat 1 gasket perlu dibeli untuk menggantikan gasket yang rosak di bahagian enjin yang dipisahkan. Harganya sekitar rm40 saja.
Selesai kerja, enjin dibawa ke bot semula dan kotak gear dipasang. Kerja membaik pulih ini berjalan selama 2 hari dengan kos kasar kurang dari rm1k. Ini disebabkan ia dilakukan sendiri. Jika di kedai, kosnya sekitar rm1k. Terima kasih Sharil kerana sudi membantu baikpulih enjin ini. Pada petang sabtu, enjin telah dihidupkan dan dipandu uji di sekitar pulau berdekatan. Tiada lagi gegaran ketika dibawa, lebih selesa dan bunyinya lebih senyap.