Ketika waktu kecil dulu, kawasan ini adalah lokasi kami mencari Haruan dan ikan air tawar yang lain. Namun dengan persekitaran yang membangun dan peredaran masa, kawasan ini berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Ketika kapal korek bijih masih berjalan sekitar tahun 80an, kawasan lombong ini mewah dengan hasil ikannya. Kami hanya menggunakan batang sawit yang dikeringkan sebagai joran dan hasil yang dibawa naik boleh dibuat lauk kami sehingga seminggu lamanya. Sekarang, kawasan ini sepi kurang dikunjungi pemancing. Selain spesis Ikan Toman yang mendominasi kawasan, terdapat juga spesis lain yang mengurangkan populasi penghuni asal lombong ini. Seingat kami, Udang Galah juga terdapat di dalam parit-parit kecil di sepanjang laluan hingga ke sungai. Semua nya hanya tinggal kenangan bagi yang pernah merasainya dahulu. Hari ini, saya bersendirian meninjau kawasan lombong ini.
Kebanyakan kawasan ini dipenuhi Teratai di bahagian tebingnya. Salah satu penghalang utama ketika tangkapan besar berjaya melepasi celah batang teratai ini. Batangnya yang kasar berduri sering tersangkut pada tali utama. Buahnya berbentuk bulat seperti bunga, sering kami jadikan makanan ketika memancing.
Setelah kerja melombong bjih ditamatkan, semua kapal lombong di bawa keluar dari kawasan ini. Kapal lombong ini bertindak sebagai kincir air besar seperti yang terdapat di kolam-kolam pancing pada hari ini. Hasil pergerakan kapal lombong tersebut, menyebabkan ikan aktif dan banyak membiak. Ikan kecil yang banyak menyebabkan ikan di lombong ini mempunyai bekalan makanan dan kitaran oksigen mencukupi. Ini cuma sekadar teory saya saja. Tak tau lah jika ada faktor lain mungkin menyumbang pada waktu itu. Apabila rantaian makanan ini mencukupi, saiz ikan memang agak besar. Cukup makan dan bebas membiak tanpa gangguan. Pada waktu itu, Haruan terbesar yang pernah kami daratkan, sekitar 5 kilogram.
Selain Haruan, Ikan Tilapia Bunga memang cukup banyak di sini. Jika tepat pada kawasan lubuknya, dengan hanya umpan cacing tanah, paling sedikit pun melebihi 10 ekor yang kami bawa balik. Saiznya pula sekitar 3 ekor sekilo. Jika terdapat gerombolan ikan tersebut di situ, sekejap saja umpan akan diragut. Biasanya berlaku pada waktu petang hingga ke waktu senja. Seringkali kami dimarahi ibu dan ayah ketika pulang lambat ke rumah. Jarak lombong dari rumah kami tidak lah terlalu jauh, tetapi jaringan jalan yang gelap di kelilingi kebun sawit dan hutan belukar, menyebabkan terasa jauh dan menyeramkan ketika senja. Apalagi bila sampai dirumah, rotan sudah menanti!
Selepas zaman kemerosotan ikan pada waktu itu, kawasan ini didatangi spesis ikan Toman pula. Spesis ini telah dilepaskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawap ketika itu. Kehadiran spesis ini telah melenyapkan spesis Haruan dan spesis penting lain. Ini lah hasil kurangnya ilmu alam sekitar yang terdapat di negara kita. Spesis yang kita bangga-banggakan akhirnya mengundang padah dalam jangkamasa lama. Apa yang kami nampak, spesis ini memakan apa saja yang bergerak. Ini termasuklah anak Haruan, Sepat ronggeng, ikan Puyu, Tilapia dan apa saja jenis ikan yang bergerak dan kurang dari saiz Toman tadi, pasti menjadi makanannya. Hasilnya, rantaian makanan ini sudah tidak seimbang dan kini, lombong ini boleh dianggap mati! Jika dulu ikan Sepat Siam yang banyak mudah dipancing, ikan Sepat Ronggeng pun sudah tidak kelihatan lagi.
Lombong di kawasan ini terbahagi kepada 2 bahagian dan sebahagiannya sudah menjadi kawasan Paya Indah Wetland. Di kawasan ini terdapat Ikan Tapah sekitar 5 kg yang kami sendiri tidak sedari. Pada waktu itu, kebanyakan spesis berharga menjadi satu rahsia kepada pemancing yang berjaya mendaratkannya. Kami sendiri tidak pernah berjaya menangkap ikan Tapah tersebut. Namun kebanyakan yang saya temui, menyangkut di jaring yang mereka labuhkan pada malam hari.
Kunci air ini adalah tempat saya, Eboi, Ijam, komando_sg(Jemik) bersidai memancing. Ketika duduk, kaki kami bermain di gigi aliran air yang jernih. Sambil mengintai tajur yang di pasang, lokasi ini juga terdapat ikan keli kayu yang waktu makannya hanya pagi dan petang menjelang senja. Pokok di kawasan ini sudah besar dan agak menyeramkan. Manakala tiada lagi aliran air dari lombong bersebelahan.
Kebanyakan pokok liar yang terdapat di sini, Petai Belalang. Isinya boleh dibuat sambal jika dikumpul. Rasanya seperti petai biasa cuma kecil seperti kuaci. Mengikut kata rakan saya, kayunya amat cantik dibuat sarung pisau jika di sapu minyak.
Pohon Ketapang atau Pokok Daun Tempe. Daunnya digunakan untuk membalut Tempe, makanan orang Jawa. Tetapi kini, Tempe hanya di dalam plastik. Jika difikirkan, kebersihannya terjamin dengan penggunaan plastik tetapi dari segi kesihatan, daun ini 100 kali lebih baik!
Pokok Ceri ini selalu kita lihat di semak belukar dan buahnya bewarna merah ketika masak. Rasanya manis tetapi awas, buahnya mengandungi jangkitan cacing! Saya sendiri tidak percaya sehinggalah melihatnya sendiri. Anda pecahkan buah yang masak dan teliti sendiri isinya.
Pokok Jambu batu yang saya jangka dibawa binatang atau sisa sampah yang dibuang pengunjung. Sebahagian kawasan ini menjadi tapak pelupusan sampah haram dari kilang berdekatan.
Kawasan ini telah di palang dan terdapat tanda ini. Saya harap kawasan ini akan kekal bersih sebagai kawasan tadahan air dan kawasan rekreasi awam yang boleh dikunjungi sentiasa. Selepas habis mengelilingi kawasan ini, saya bergerak ke kawasan pedalaman melalui jalan belakang yang dulunya kebun kelapa sawit dan hutan menghala ke Sri Cheding. Banyak perubahan berlaku di kawasan persekitarannya. Pohon sawit yang telah besar kebanyakannya menutupi lanskap yang dulunya lapang di mata. Banyak juga kawasan parit lama yang di jengah dan kebanyakanya juga kelihatan mati walaupun dengan keadaan air yang begitu cantik sekali. Tiada lagi Puyu, Sepat dan Kelibat Keli di sana sini. Sedih dan sebak rasanya. Generasi muda bakal melihat semua ini hanya di dalam gambar dengan seribu persoalan yang sukar dijawap!