Trip dimulakan dengan pencarian umpan yang begitu sukar sekali. Hanya sedikit jumlah umpan yang berjaya diperolehi dalam masa yang begitu panjang. Apa boleh buat, semuanya dah ditentukan.. Selesai mencari umpan, kami terus bergerak ke lokasi memancing sekitar sangkar ikan Pulau Ketam..
Ikan Senangin dengan perambut gantung 2 mata lebih berkesan ketika ini..
Selama saya memancing di kawasan ini, berbagai ilmu baru setiap kali diperolehi. Saranan saya kepada pemancing yang masih baru untuk sentiasa menimba ilmu di kawasan anda memancing. Ada banyak perkara adakalanya kita terlepas pandang dan ia kadangkala sesuatu yang begitu berharga. Ulangkaji lah ilmu yang anda ada supaya anda lebih cekap di masa akan datang. Memancing bukan sekadar memasang joran dan umpan sahaja dan pemandu pancing bukanlah kerjaya suka-suka.
Puas kami menunggu, umpan kembung seekor yang baru di turunkan ke air menjadi pilihannya..
Senangin kali ini memilih ikan potong dengan perambut gantung..
Jika di lihat dari mata kasar, kebanyakan spesis ini berlegar di kawasan separuh air menunggu kawanan anak ikan sebagai mangsa buruannya. Hal ini kerap kami perhatikan kerana seringkali spesis ini menyambar umpan ketika dikarau naik. Setelah tersangkut pada kail, tali akan melawan arus dan kendur. Sekiranya anda masih tidak mahir, pasti anda menyangka ikan sudah terlepas dan sambil lewa mengarau tali. Hasilnya ikan akan melompat setelah hampir dengan bot dan jika ini terjadi, biasanya perambut akan putus ketika lompatan tersebut. Ikan ini tidak sebesar mana pun namun mulutnya yang kasar seperti kertas pasir mampu memutuskan perambut sebesar 50 paun!
Ikan Pari ini tidak sebesar mana, tapi tarikannya sudah cukup membuatkan tangan anda lenguh dalam masa 3 minit saja.
Bagi spesis Ikan Pari pula, umpan ikan potong kecil lebih menjadi di sekitar kawasan ini. Getuan kecil yang anda sangka ikan Gelama biasanya berakhir dengan larian pecut dengan tali yang panjang di bawah sangkar. Bukan yang tidak mahir saja, saya sendiri kerap tewas jika berhadapan dengan spesis UFO ini. Tali sangkar yang bersilang-silang di sepanjang lokasi memancing adalah penyebab utama hal ini berlaku. Anda akan lebih selamat sekiranya menggunakan joran panjang. Hujung joran boleh dibenamkan ke dalam air bagi mengelak tali sangkar ini.
Hasil keseluruhan trip pada hari ini..