Selasa, 5 April 2022

Baik pulih sampan fiber rosak.

 Pada tahun ini, saya banyak membaikpulih bot milik rakan yang terdekat. Kebanyakan bot ini bersaiz sekitar 14 kaki hingga 21 kaki. Baikpulih ini termasuklah menukar transom, membaiki lantai dan kerosakan besar yang lain.

Bot ini biasanya sudah lama digunakan dan ada bahagian yang pecah dan reput. Sekiranya ia dari fiberglass dan masih boleh dibaikpulih, tiada masalah buat saya. 

Maklumlah, harga bot sekarang memang agak mahal dan jalan termudah adalah baikpulih semula. Kepada yang ingin menghantar bot kepada saya, sila berhubung dengan saya terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah dikemudian hari.

Tukun Tiruan 2022

 Tukun tiruan terbaru edisi 2022 telah berjaya dilabuhkan di lokasi rahsia bagi memenuhi keperluan trip Paloh atau Pintu Gedung. Tukun yg diperbuat daripada simen dan sesalur elektrik ini mempunyai berat hampir 15 kg bagi setiap unit.


Sejumlah 50 unit tukun berjaya dilabuhkan  setakat ini, masih belum diuji keberkesanannya dan menjadi simpanan kami untuk trip yg bakal tiba selepas ini. 


Tukun ini adalah hasil kerjasama dengan pemilik bot Encik Tarmizi yg juga jurumudi untuk trip jigging dari Jugra. Hasil perbincangan selama 2 bulan dan perbelanjaan yg agak besar, akhirnya ia siap dibina.


Selain itu juga tukun gentian kaca (fiberglass) berbentuk kiub, turut berjaya disiapkan dan bakal dilabuh pada bulan ramadhan ini.

Semoga dengan adanya tukun ini, ahli trip akan beroleh hasil yang lebih baik pada masa akan datang!

Khamis, 13 Januari 2022

Selamat tahun baru 2022!

 Salam sejahtera kepada semua pembaca blog dan terima kasih kerana masih setia bersama kami. Kehadiran tahun baru 2022 banyak memberi pengajaran dengan pelbagai peristiwa pahit dan manis. 

Banjir besar yang melanda beberapa buah negeri, telah menyebabkan banyak kerugian dan kehilangan nyawa. Takziah kepada yang terlibat dan semoga semua yang terlibat bertabah menempuhi hari mendatang.

Sudah lebih 10 tahun blog ini berfungsi memberikan maklumat dan perkongsian sedikit ilmu. Semoga ia menjadi sesuatu yang berguna untuk anda. 

Semoga kita bangkit dengan semangat baru dan lebih kuat untuk menempuh tahun baru ini. Selamat memancing dan kekal selamat sentiasa. Selamat tahun baru 2022!

Rabu, 15 Disember 2021

Kerja pemeriksaan dermaga di Westport.

Dihujung tahun ini, kami diberikan tugas untuk membantu dalam kerja pemeriksaan dermaga di Pelabuhan Barat(Westport). Seperti biasa, tugas kami hanya menguruskan logistik sahaja. Menyediakan bot dan pemandu yang berkemahiran. Kerja yang dijangka mengambil masa 10 hari ini masih berjalan dan belum selesai.

Pemeriksaan dibuat dibahagian bawah dermaga bagi mengesan kerosakan, supaya kerja penyelenggaraan dapat dibuat kemudian hari.

Semua jurumudi perlu tahu dan cekap dalam pemanduan bot untuk mengelakan kerosakan dan kemalangan ketika bertugas. Pemakaian topi keselamatan, jaket keselamatan dan kasut memang saya wajibkan. 

Kerja yang nampak mudah ini, memerlukan kemahiran tinggi bagi yang mengendalikan bot. Terdapat 4 jurumudi berpengalaman yang terlibat dalam tugasan ini. Semoga ia berjalan lancar dan selesai dengan jayanya.

Trip Angsa, mengimbau kenangan lalu..

 Sudah sekian lama saya tidak berkunjung ke Pulau Angsa. Faktor ikan yang kurang dan lokasi terdedah, mengurangkan minat untuk saya ke sana. Tapi kali ini, saya menjadi pengganti kepada rakan yang bercuti akibat pembedahan tangan.

Bot pinjam 27kaki berkuasan enjin besar, memang menjimatkan tenaga. Biasa guna manual, yang ni stereng dengan kunci. Dengan kata lain, saya makan gaji untuk 2 bulan ini.

Seperti dijangkakan, cuaca buruk selepas jam 3 petang. Kami bernasib baik kerana ada sedikit hasil yang berjaya dibawa balik.

Antara hasil biasa yang sinonim dengan Pulau Angsa, Gelama Selewak dan Gelama 3 gigi.

Ikan hanya aktif ketika air mula surut dan berarus. Segalanya berubah setelah angin barat membadai lokasi kami memancing. Setelah itu kami masuk semula ke selat hingga ke petang.







Trip jigging, Jugra

 Trip jigging berlangsung dikawasan tubir Kelanang hingga ke Pintu Gedung. 


Hasil tak begitu banyak namun masih memuaskan hati pemancing.

Cuaca baik dengan keadaan ombak yang agak besar di kawasan tengah. Apapun trip berjalan dengan baik. Kali ini mengunakan bot milik rakan di Jugra.






Trip Sg Langat, Sepit biru!

 Banyak trip udang saya berlangsung di Sungai Langat sejak kebelakangan ini. Berikutan kualiti air yang semakin baik dan musim udang yang sedang banyak. Walaupun udang banyak, ia masih dipengaruhi cuaca hujan dan panas. Jika panas, udang ada. Jika hujan lebat dan air darat mengeruhkan sungai, maka pulang kosong. Udang bukan tidak ada, mungkin pedih mata dan tidak mahu menjamah umpan yang diberi.

Selama seminggu, saya dan Rakan kerap menjadi penunggu di tebing sungai. Kadangkala seawal jam 5 pagi, semata-mata untuk mengejar piantan air. Sehari 2 trip kami turun memancing. 

Banyak juga hasil yang berjaya dikumpul untuk dijual semula. Maklumlah, saya tirak boleh makan udang. Kalau teringin sekor dua saja. Tak berani makan lebih, nanti jalan seret kaki. Paling pedih, langsung tak boleh jalan!


Buka saja saya dan Raman, mak, adik ipar dan Sharil, turut terjebak sama. Ini saja masa yang ada, gunakan sebaiknya sebelum berlalu. Bukan senang nak jumpa udang galah ni. Belakang rumah pula tu. Dekat, jimat masa dan kos.


Umpan disini lebih kepada udang beras, cacing, kerang dan dan ruat. Seleranya berubah setiap masa bergantung pada cuaca sekitar. Jika hujan lebat dan air keruh, hasil kurang. Jika air jernih, arus normal, hasil banyak. 


Dilokasi saya ada 2 orang yang membuat trip udang dan sewa bot. Samada bersama pemandu, bot kosong atau bot siap enjin. Cuma kualiti bot kurang sikit sebab pemilik bot bukan menyewakan sepenuh masa. Agak segan-segan sikit nak berurusan. Pada yang berminat, boleh lah berhubung dengan saya.