Jumaat, 11 Disember 2015
Selasa, 3 November 2015
Mengesan Keretakan, Tugasan 6 hari berakhir sudah..
Pada bulan ini, bot besar telah digunakan bagi membantu kerja-kerja mengesan kerosakan dermaga kapal di Liquid Bulk Terminal (LBT) WestPort. Kerja tersebut bermula pada 21/10/2015 dan tamat pada 31/10/2015. Banyak kemahiran baru yang dapat dipelajari ketika kerja dijalankan disamping menajamkan kemahiran memandu bot dalam keadaan yang berlainan.
Mengemudi bot di celah-celah tiang ketika arus deras memang memerlukan kemahiran. Pelanggaran memang tidak dapat dielakkan.
Ketika air mula surut, bot amat mudah dikemudi kerana arus tidak deras. Keadaan mula berubah sukar apabila arus deras mula mengganas. Berada di celah-celah tiang berteritip memang agak merbahaya ketika ini. Memulas minyak tanpa berhati-hati boleh mengundang musibah. Jika tidak berlaggar dengan tiang, bot boleh tersepit dan kipas boleh terkena pada tiang dermaga. Oleh yang demikian, pengemudi perlu peka dengan persekitaran bot setiap masa. Selain itu, pengemudi juga perlu peka dengan kehadiran ombak besar kapal yang lalu lalang hampir setiap masa.
Ketika tugasan berjalan, enjin harus sentiasa hidup bagi memudahkan pergerakan yang diperlukan. Mengesan kerosakan termasuklah pecahan, keretakkan, kakisan dan renggangan yang berlaku pada setiap sudut dermaga. Ada istilah tertentu yang digunakan bagi kerosakan tersebut dan hanya diketahui oleh petugas yang saya bawa. Ketika ini juga barulah saya tahu, tiang batu yang dipacak ke dasar laut masih boleh bergoyang ditolak arus air laut. Nampak seperti kukuh, rupanya tidak..
Antara hidupan di tiang ini termasuklah kupang, tiram, ketam dan teritip berbagai saiz. Saiznya berlainan di bahagian tertentu tiang. Kadangkala begitu mengasyikan saya sehingga terlupa dengan tugasan yang dibuat. Tiram jenis ini berada di bahagian zon pasang surut dan lembut sedikit berbanding tiram dibahagian atas. Sekiranya berlanggar dengan bahagian bot, ia akan pecah dan tidak mendatangkan kerosakan serius pada sisi bot.
Bunga karang yang hidup pada bahagian atas Tiram ini hanya berada di zon surut sahaja.
Tiram jenis ini pula hanya berada di bahagian atas tiang iaitu di bahagian zon air pasang sahaja. Tiram batu jenis ini biasanya amat digemari spesis Tebal Pipi sekiranya berada di dasar sungai.. Keadaan tiram yang keras dan tajam boleh memecahkan bahagian bot jika terlanggar atau bergesel.
Banyak kesan retakan pada bahagian tertentu di bawah dan keliling dermaga. Bot akan melalui kesemua bahagian ini secara berperingkat sehingga selesai.
Saiz terbesar yang sempat saya ambil..
Belangkas, The Last Dinasor!
Belangkas adalah sejenis hidupan air yang tinggal di kawasan air masin sepeti ketam. Kehadiran spesis ini di kawasan pantai boleh dilihat ketika air pasang besar. Bagi pencari belangkas yang mahir, mereka hanya perlu melihat buih-buih kecil di pantai sebagai tanda kehadiran spesis ini. Jaring juga boleh digunakan untuk menangkapnya. Kebiasaannya terdapat 2 ekor Belangkas ketika ditangkap. Yang besar berada di hadapan adalah betina dan yang kecil berada di belakang adalah jantan.
Telur belangkas memang boleh dimakan dan bahagian badannya boleh dibuat tomyam ataupun masakan lain. namun anda perlu ada kemahiran menyiangnya supaya yang makan tidak mabuk..
Nelayan di kawasan ini memang biasa mengumpul Belangkas ini untuk dijual kepda peraih yang berminat. Ia akan dikumpul di dalam bekas besar dan dibela sehingga di dalam jumlah yang banyak. Kepada yang berminat boleh la datang membelinya di sini..
Trip 18/10 Akib dan Shah
Trip kali ini masih lagi jatuh pada air besar dan hanya berada di lokasi Labuhan Gurap sahaja. Memandangkan lokasi lain kurang sesuai ketika ini, kami hanya meniti anak sungai dan menjengah kawasan beting sahaja.
Seperti biasa, umpan wajib yang biasa..
Goreng pun sedap sebenarnya ikan ni..
Umpan perumpun dan udang hidup saiz jari kelingking kali ini nampaknya memang berhasil. Ada juga di waktu tertentu umpan amat sukar dicari. Untuk lebih mudah, anda dinasihatkan membeli umpan dari darat. Selain menjimatkan masa dan tenaga, masa memancing dapat dipanjangkan.
Tetanda saiz hidangan 2 pinggan..
Dalam diam-diam memancing, ada juga spesis Pari dinaikkan. Walaupun tak besar mana, namun seronok melayannya bila larian pecutnya menarik keluar tali..
Paling seronok bila melihat joran halus yang digunakan menggunakan mesin dan tali halus. Siap ada tulis pada mesin tersebut "Mesin Udang"!
Trip 17/10 En.Said Rembau
Air pasang besar biasanya laju dan keruh di kawasan selat. Bukan tidak boleh memancing tetapi kurang sesuai untuk memancing. Namun ada spesis tertentu yang boleh diperolehi ketika ini jika kita berada di lokasi yang sesuai. Waktu yang sesuai adalah ketika air tinggi surut dan air mula naik.
Ikan Tetanda dan Merah biasanya memang ada dikawasan sauh sangkar tetapi umpan akan lebih cepat dijumpai oleh ikan Duri terlebih dahulu. Ketika ini air baru mula surut dan masih jernih.
Umpan terbaik di kawasan muara..
Sambil menunggu, kita makan kuaci dulu..
FishFinder adakalanya sangat berguna ketika diperlukan, namun kemahiran menggunakannya juga sama penting..
Hasil keseluruhan trip air besar kali ini..
Ketika air besar juga, ada antara spesis ikan ini berselindung di kawasan lubang tertentu sebelum masuk semula ke kawasan bakau untuk mencari makan. Bukti kehadiran ikan-ikan ini adalah, hasil jaring nelayan pantai yang menangkap ikan di kawasan yang sama. Ikan memang ada, cuma mungkin tidak mahu menjamah umpan kami..
Selasa, 13 Oktober 2015
Trip 8/10 En.Said dan Rakan
Seperti yang saya katakan sebelum ini, sampah masih menjadi pemandangan utama di sepanjang perjalanan ke lokasi memancing. Amat sukar mengemudi bot untuk melepasi sampah ini. Kerap kali sampah melekat pada kipas dan mengganggu perjalanan kami. Sampah seperti sisa plastik dan kayu kecil merbahaya pada enjin sangkut.
Setelah sampai di lokasi memancing, sauh dilabuh dan aktiviti memancing dimulakan. Ketika ini air masih surut dan arus masih belum berubah walaupun sudah mula pasang. Arus perlahan seperti ini biasanya menyebabkan Ikan Kerapu aktif dan mudah dipancing. Dengan syarat, umpat jatuh tepat di hujung matanya.
Hasil pertama dengan perambut kolam batu kecil yang dihanyutkan di bawah sangkar..
Jika anda perasan, saiz umpan langsung tidak padan dengan tangkapan yang dibawa naik. Inilah rahsia sebenar memancing di lokasi ini..
Senangin adalah spesis wajib pada ketika ini. Spesis ini kerap masuk ke selat yang terlindung ketika musim angin kuat di lautan terbuka. Perkara ini kerap kami perhatikan berlaku seperti tahun-tahun yang sudah. Pada satu ketika nanti, amat sukar mendapatkan spesis ini ketika berakhirnya musim angin kencang.
Ikan Merah yang berjaya dinaikan dengan umpan seekor Beliak Mata.
Hasil keseluruhan trip pada harini agak kurang berbanding dengan hasil sebelum ini. Kemungkinan besar air hujan yang masuk melintasi lokasi memancing kami. Menjadi kebiasaan ketika banyak air hujan, ikan agak kurang aktif. Sebelum trip berakhir kami singgah di kawasan muara dan hasilnya masih tetap sama. Trip pulang sekitar jam 8 malam ke pengkalan.
Trip 7/10 En Ghazali
Trip kali ini hanya berdua saja dimulakan dengan sesi mencari umpan yang agak sukar berikutan hujan sepanjang malam. Kemungkinan besar, air hujan yang dibawa arus surut menyebabkan ikan umpan tidak berada di lokasi. Walaupun agak sukar, hari memancing diteruskan dengan umpan yang dibawa dari pasar pagi.
Laluan sepanjang selat diwarnai dengan sampah yang terapung di permukaan air. Pemandadangan seperti ini dapat dilihat di sepanjang laluan utama ke Pulau Ketam. Jika sampah ini mendap di dasar sungai, kawasan ini akan ketandusan ikan dalam tempoh 10 tahun lagi..
Hasil pertama di lokasi, seekor Kerapu seberat 3.5 kg dengan umpan seekor ikan tamban..
Mata kail hanya terlekat pada bibir ikan dan salah satunya berada di luar mulut. Kelebihan penggunaan 2 mata kail.
Hari memancing kali ini begitu suram disebabkan hujan selepas tengahari. Antara yang turut termenung menanti ikan termasuklah Burung Bangau yang berada di atas sangkar tinggal ini. Cuba anda lihat berapa banyak Bangau yang ada di situ?
Selepas hujan, tiada lagi tangkapan berjaya dinaikkan dan kami berpatah balik ke muara. Hasil berlabuh selama 2 jam, beberapa Gelama Pisang dan Senangin kecil berjaya dinaikan. Trip pulang selepas solat mahgrib sekitar jam 7.20 malam.
Langgan:
Catatan (Atom)







































