Selasa, 3 November 2015

Mengesan Keretakan, Tugasan 6 hari berakhir sudah..

Pada bulan ini, bot besar telah digunakan bagi membantu kerja-kerja mengesan kerosakan dermaga kapal di Liquid Bulk Terminal (LBT) WestPort. Kerja tersebut bermula pada 21/10/2015 dan tamat pada 31/10/2015. Banyak kemahiran baru yang dapat dipelajari ketika kerja dijalankan disamping menajamkan kemahiran memandu bot dalam keadaan yang berlainan.

Mengemudi bot di celah-celah tiang ketika arus deras memang memerlukan kemahiran. Pelanggaran memang tidak dapat dielakkan.

Ketika air mula surut, bot amat mudah dikemudi kerana arus tidak deras. Keadaan mula berubah sukar apabila arus deras mula mengganas. Berada di celah-celah tiang berteritip memang agak merbahaya ketika ini. Memulas minyak tanpa berhati-hati boleh mengundang musibah. Jika tidak berlaggar dengan tiang, bot boleh tersepit dan kipas boleh terkena pada tiang dermaga. Oleh yang demikian, pengemudi perlu peka dengan persekitaran bot setiap masa. Selain itu, pengemudi juga perlu peka dengan kehadiran ombak besar kapal yang lalu lalang hampir setiap masa.

Ketika tugasan berjalan, enjin harus sentiasa hidup bagi memudahkan pergerakan yang diperlukan. Mengesan kerosakan termasuklah pecahan, keretakkan, kakisan dan renggangan yang berlaku pada setiap sudut dermaga. Ada istilah tertentu yang digunakan bagi kerosakan tersebut dan hanya diketahui oleh petugas yang saya bawa. Ketika ini juga barulah saya tahu, tiang batu yang dipacak ke dasar laut masih boleh bergoyang ditolak arus air laut. Nampak seperti kukuh, rupanya tidak..

Antara hidupan di tiang ini termasuklah kupang, tiram, ketam dan teritip berbagai saiz. Saiznya berlainan di bahagian tertentu tiang. Kadangkala begitu mengasyikan saya sehingga terlupa dengan tugasan yang dibuat. Tiram jenis ini berada di bahagian zon pasang surut dan lembut sedikit berbanding tiram dibahagian atas. Sekiranya berlanggar dengan bahagian bot, ia akan pecah dan tidak mendatangkan kerosakan serius pada sisi bot.

Bunga karang yang hidup pada bahagian atas Tiram ini hanya berada di zon surut sahaja.


Tiram jenis ini pula hanya berada di bahagian atas tiang iaitu di bahagian zon air pasang sahaja. Tiram batu jenis ini biasanya amat digemari spesis Tebal Pipi sekiranya berada di dasar sungai.. Keadaan tiram yang keras dan tajam boleh memecahkan bahagian bot jika terlanggar atau bergesel.

Banyak kesan retakan pada bahagian tertentu di bawah dan keliling dermaga. Bot akan melalui kesemua bahagian ini secara berperingkat sehingga selesai. 

 Saiz terbesar yang sempat saya ambil..

Sambil melakukan tugasan, sempat juga saya mengumpul kupang yang saya sempat capai di kawasan tiang. Ada antaranya bersaiz besar dari yang biasa saya lihat. Kupang ini perlu dibersihkan dari teritip dan di rebus sebanyak 2 kali sebelum dipotong kecil dan dimasak. Semua tugasan selesai selepas 6 hari dan berakhir dengan selamat. Terima kasih kepada En.Hafiz yang sudi menggunakan perkhidmatan kami..