Jumaat, 17 Mei 2019

Membina Trailer bot untuk kegunaan sendiri.

Trailer atau troli bot biasanya digunakan untuk menarik bot samada dari air ke darat atau dari darat ke laut. Biasanya melibatkan kerja membaikpulih atau penyimpanan di lokasi selamat. Tahun ini saya merancang membina dan memiliki sebuah troli untuk membawa balik bot yang ingin dibaik pulih. Memandangkan harganya begitu mahal, saya merancang untuk membinanya sendiri.

 
Rekabentuk yang saya ambil di internet sebagai panduan.

Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini, tetapi dengan peralatan yang ada dan sedikit kemahiran yang diajar oleh Jemik(komando_sg), saya rasa ia tidak mustahil. Ramai juga rakan yang membantu untuk menjayakan projek kecil ini. Setelah sebulan mengumpul maklumat dan semua barang telah dibeli, kerja pun dimulakan.


Antara barang yang perlu ada ialah gandar 4 skru, besi gandar, 2 tayar, spring van c70, besi 1.5 x 3 inci, plat besi, skru dan pengikat. Oleh kerana tak pernah buat, kerja agak perlahan dan memakan masa agak lama. Saya bersyukur kerana jiran baru di sebelah rumah, turut membantu. Memang berbeza hasil dari tukang besi berkemahiran dengan tukang besi amatur. Paling penting saya dapat menambah ilmu yang sedia ada.

 Bentuk mungkin tak sama, tapi fungsi tetap sama.

Perancangan awal hanya menggunakan kayu tetapi bila difikir semula, besi adalah lebih baik dan lebih mudah kerjanya. Saiz besi yang kecil juga saya ubah kepada yang besar sedikit berdasarkan nasihat Abg Emi. Berat tetapi kukuh dan sesuai untuk bot 25 kaki ke bawah.


Sambungan pada bahagian bawah, semuanya menggunakan skru saja supaya mudah dibuka jika perlu dibaiki atau jika mahu menambah gandar supaya lebih stabil dan kuat.

   

 Seronok pula membuat kerja-kerja ni. Hilang penat bila kerja yang dibuat menjadi, walaupun tidak secantik hasil pakar.



Dalam jangkamasa seminggu, bentuk asas sudah kelihatan dan barulah mudah menyambung kerja. Lambat mungkin siap nya, biasalah amatur. Kita tunggu apa hasil projek kecil ni.