Khamis, 10 Januari 2019

Dairi ladang sejengkal 8, cabut pokok sawit..

Di awal tahun 2019 ini, saya membuka tapak baru untuk menambah kawasan sedia ada. Sambil menunggu hasil kedua, kerja-kerja membersihkan kawasan mula dibuat. Jika dulu cuma pokok senduduk dan sisa batu, kali ini pokok sawit tumbuh menjadi penghalang. Ada banyak pokok sawit tumbuh yang sudah berbuah. Sayang pula nak ditebang kerana buahnya yang lebat dan banyak, mungkin boleh mendatangkan sesuatu di kemudian hari. Di hitung-hitung, ada lebih kurang 10 pokok yang sudah berbuah lebat. Cuma yang tak seronoknya, harga sawit kini agak murah sekitar rm0.25sen sekilo. 



Kesemua pokok ini tumbuh dari sisa sawit lama yang memang dari benih terpilih. Jadi tak hairanlah jika buah dan pokok nya berkualiti. Jadi saya cuma buang mana yang perlu saja. Seiring dengan cita-cita besar yang dirancang, mesin penggembur telah dibeli. Koyak poket bila rm1500 keluar macam air. Lepas ni kerja akan lebih mudah dan cepat. Bukan lah semudah yang disangka tetapi masa dapat akan dapat dijimatkan. Selain itu saya kini dibantu Rahman yang setuju untuk ikut serta dan bersama-sama menuai hasil.


 Anak pokok sawit ni akarnya tidak begitu dalam kerana ia hidup tumbuh tanpa ditanam. Namun begitu, akar serabutnya begitu kuat mencengkam tanah sungguh pun saiznya kecil. Tanpa peralatan dan cara yang betul, tak mungkin ia boleh dicabut. Salah satu cara terbaik dengan menggunakan tajak dan parang.

 Sorang menggali, sorang melibas akar. Jika penat, kami bertukar-tukar posisi. Memang letih lebih-lebih lagi dalam cuaca panas tengahari. Kata Rahman, dia boleh kurus kalau sebulan begitu. Apa boleh buat, beginilah cara terbaik yang mampu kami usahakan.

 Keliling pokok sawit di korek kemudian akar dilibas dengan parang panjang. Perkataan potong kurang sesuai rasanya. Kalau libas anda boleh bayangkan. Bila sekeliling bawah pokok sudah terpotong akarnya, kita perlu goyangkan pokok dan bila dah longgar cabut saja. Kalau kena caranya, mudah saja. Selepas tu semua sisa pokok dikumpul di satu lokasi supaya kering dan boleh dibakar kemudian hari.


Sisa pasu bekas susu getah yang kami harapkan berisi kepingan duit emas tak juga ditemui.

Tengok tu, macam kawah gunung berapi. Sambil menggali, ada saja cerita pembakar semangat yang biasanya mengarut supaya tak terasa penat. Ini termasuklah wang syiling emas yang mungkin berada di bawah akar pokok. Mana lah tau kot-kot ada sepasu, boleh la kami kaya cepat. Usahkan sepasu, sekeping pun tidak ditemui. Hasilnya, hampir 7 pokok sawit berjaya kami tumbangkan dalam masa setengah hari. 



Selesai saja kerja mencabut pokok, jam sudah hampir 1 tengahari. Walaupun penat, hati terasa puas bila melihat kerja yang dibuat berhasil dan kawasan nampak lapang. Kami merancang untuk meneruskan kerja pada waktu yang lain.