Projek tukun kali ini berubah ke lokasi lain disamping tambahan kepada lokasi sedia ada. Lokasi kali ini, Pulau ketam. Memunggah tayar dan longkang berseorangan bukan lah satu kerja mudah. Namun jika perancangannya tepat dan cara kerja yang betul, ia tidak mustahil dilakukan. Ketika air tinggi dan bot separas dengan pelantar, kerja akan jadi lebih mudah walaupun agak meletihkan. Bagi saya, ia boleh dilaksanakan dengan syarat yang dinyatakan tadi.
Baki tayar yang perlu dihabiskan tahun ini, menjadikan lokasi tukun lebih meriah pada masa akan datang..
Longkang yang berjaya dipunggah masuk ke
bot adalah sebanyak 4 unit dan 2 unit pecah untuk pemberat tukun tayar. Semua
kerja memunggah berjaya dilakukan sebelum jam 6.30 petang. Sementara
menunggu bantuan dari Sharil untuk kerja melabuh tukun pada waktu malam nanti. Kerja
disambung semula pada jam 8 malam ke lokasi dirancang.
Memang berat longkang batu ni, hanya mampu di seret dan diguling ke dalam bot.
Kami bergerak ke lokasi terdekat terlebih dahulu untuk mengurangkan berat. Tukun tayar perlu dilabuh terlebih dahulu sebagai tambahan di spot lama. Seperti biasa, tayar diikat dalam bentuk kiub dan disambung kepada 3 x 3 unit dengan Cabel Tie. Longkang yang pecah dimasukkan ke dalam sebagai pemberat. Sebanyak 2 unit berjaya disiapkan dan bot bertambah ringan untuk ke lokasi seterusnya.
Malang tidak berbau, ketika perjalanan masuk ke sungai, bot kami melanggar beting kerana tersilap laluan. Mujur tidak berlaku kerosakan pada enjin dan bot berjaya ditolak ke tengah semula. Keadaan panik seketika kerana ketika itu terdapat Bot penumpang melalui kawasan tersebut. Laluan yang sempit dan cetek terpaksa dikongsi bersama. Setelah keadaan dipastikan selamat, kami terus memecut ke lokasi kedua. Namun, ada lagi kerja yang perlu dibuat, iaitu memotong pokok untuk dicantum dengan longkang yang kami bawa. Dalam gelap malam, kami memotong dan mengangkat sisa pokok ke dalam bot.
Setelah selesai barulah kami bersauh di lokasi dipilih. Pokok yang dipotong tadi diikat dengan tali besar bersama longkang batu sebelum dibuang ke air. Terdapat 3-4 sisa pokok untuk 1 unit longkang. Sebanyak 4 spot berjaya diselesaikan dan salah satunya banir pokok sepanjang 10 kaki. Habis tangan dan kaki kami luka akibat teritip yang sudah melekat di situ. Tiada alasan untuk kami mengeluh kerana ia perlu dilaksanakan sehingga habis. Semua kerja berjaya diselesaikan dan kami pulang pada jam 2 pagi ke pengkalan.