Jumaat, 25 Ogos 2017

Sekadar informasi, ikan juga perlu rumah untuk tinggal

Pada akhir trip yang lepas, terdapat beberapa trip yang pulang hampa tanpa ada hasil baik dalam jumlah yang sedikit. Tiupan angin kencang dan hujan pada sebelah subuh yang kerap mungkin mempengaruhi keadaan air di sekitar selat ini. Ramai yang mengeluh akibat begitu sukar untuk mendapatkan hasil yang setimpal dengan tenaga yang dilabur. Beginilah permainan selat yang memerlukan kemahiran namun kadangkala tewas juga. Di bahagian laut terbuka pula, ikan memang ada dan kerapkali hasil boleh dibangakan berdasarkan laporan rakan-rakan di media yang lain. Masih juga tewas sekiranya angin kuat membadai lokasi memancing. Perkara biasa bagi pemandu pancing seperti kami. 

Hari ini ada beberapa perkara yang ingin disampaikan sebagai ilmu atau sesuatu yang mungkin berguna kepada anda mahupun sebagai sesuatu yang baru buat kami sendiri tentang habitan tiruan ikan yang sesuai berdasarkan pandangan kami. Mungkin ianya tidak betul atau tidak logik, terpulang kepada anda untuk menilai.


 Karang ini dinaikkan di sekitar kawasan Pken 25

Sebahagian gambar di atas saya ambil di internet sebagai bahan rujukan memandangkankan tidak banyak maklumat ini di tempat kita. Faktor air yang jernih memudahkan segala gambar diambil berbanding di kawasan kami yang airnya keruh hanya sekitar sekaki dua saja jarak pandangan di bawah. Itu pun hanya ketika air jernih dan terdapat cahaya. Hampir kebanyakan lokasi yang mempunyai karang seperti ini mempunyai kedalaman kurang dari 8 meter dan mempunyai dasar keras.

 Kehadiran cahaya matahari yang menembusi dasar menyebabkan batu karang ini dapat tumbuh dan hidup dengan jayanya. Arus laju dan air masin yang masuk dari kawasan luar lebih banyak mempengaruhi pertumbuhan batu karang ini. Bunga karang seperti di dalam gambar ini biasanya mempunyai batu dibahagian bawahnya. Saya sendiri merasa hairan kerana kadangkala batu yang dinaikan sama dengan batu sungai yang terdapat di kawasan air terjun. Paling hairan, di kawasan ini tidak terdapat aliran air terjun. Berbeza dengan satu lagi kawasan tanah keras yang kami temui, tidak mempunyai langsung batu karang ini. Walaupun keadaan dasar yang keras dan berpasir, kurang dari 4 meter, kebanyakan lokasinya kosong dan tandus. Kawasan ini telah kami jadikan sebagai tapak tukun tiruan percubaan untuk longkang batu.


 Gambar di atas kebiasannya di panggil Unjam di negara kita. Jika kita masih lagi tertanya tanya bagaimana ikan-ikan di situ berkumpul, disini kita boleh lihat dengan jelas. Apa yang ingin disampaikan disini ialah, jenis unjam ini tidak sesuai dikawasan selat. Faktor arus laju, laluan kapal yang sibuk dan aktiviti pukat hanyut nelayan pasti akan menggagalkan usaha ini. Jadi apa kata jika kita berfikir di luar kotak pemikiran sebentar. Sebenarnya unjam ini boleh digunakan di kawasan selat sekiranya ia di ubahsuai. Mana-mana kawasan yang kurang berarus berkedalaman melebihi 10 meter, seperti di muara sungai. Saiz pemberat di besarkan, manakala pelampung perlu berada pada paras 2 ke 3 meter dari permukaan dasar. Tidak perlu tinggi kerana ia akan mengganggu bot dan pukat hanyut yang lalu lalang. Unjam ini akan berfungsi ketika air mati di mana arus yang kurang akan menyebabkan unjam terapung dan ikan boleh berlindung di bawahnya.

Ikan Kurau ini kami perolehi dengan umpan udang hidup saiz besar, leader 60 paun dan perambut kasar 60 paun. Waktu makannya ketika arus perlahan dan berhenti, mula pasang. Biasanya melarikan diri ke celah tiang atau reba. Hasil diatas berada betul-betul di dalam kawasan sangkut. Perambut kasar adalah pilihan terbaik!




 Satu lagi penemuan baru yang kami temui, tiang Pken yang ada di kawasan ini juga boleh digantung dengan tayar dan sebagainya sebagai penarik kepada ikan berlindung. Ini terbukti bila spesis ikan senangin di kawasan sangkar yang kerap diperolehi berada dibahagian hujung tali sauh sangkar yang tergantung 1 ke 2 meter dari dasar. Ikan ini juga kerap di lihat menyambar anak-anak ikan yang bermain di sekitar tali tersebut. Teori ini boleh disokong dengan hasil tangkapan pukat hanyut yang biasa digunakan nelayan tempatan. Kebiasaannya, ikan Senangin yang tersangkut di pukat berada di tengah sekitar 1-2 meter dari pelampung.

Kebanyakan tukun yang kami bina, sudah mempunyai spesis ini walaupun tidak banyak. Penanda baik kawasan tersebut sesuai..

Di atas adalah Ikan Kerapu yang biasanya menghuni kawasan tukun dan karang berstuktur seperti dermaga kapal, tiang dan kawasan kapal karam. Paling banyak yang kami perolehi di kawasan sauh sangkar. Berdasarkan gambar di atas, tidak hairanlah jika biasanya banyak tangkapan ini diprolehi di bawah rumah utama di sangkar. Faktor gelap dan terlindung di kawasan air cetek membolehkan ia berlindung dan membiak di sini.