Jumaat, 14 April 2017

Kajian semasa tukun muara

Jika bercakap tentang tukun tiruan, masih banyak yang perlu kami pelajari. Jika sekadar mencari maklumat di internet, hanya maklumat lama yang akan diperolehi dan ke semuanya di luar kawasan. Anda tentu masih ingat, pada artikel lama di blog ini bagaimana kami bersusah payah membina tukun tiruan untuk memudahkan aktiviti memancing. Walaupun nampak seperti sia-sia, pada kami ianya maklumat berharga yang boleh digunakan pada masa hadapan.


Masih ingat pada artikel dengan gambar di atas?? Artikel mengenai tukun pokok ini berkesudahan dengan kejayaan namun tidak bertahan lama. Pokok lama memang terbaik bagi menarik perhatian ikan tetapi untuk jangkamasa pendek sahaja. Hasil kajian tersebut mendapati, ikan yang datang singgah di pokok ini cuma bertahan selama 3 hari dan mula berkurangan pada hari ke 4. Ini berlaku kerana kehadiran ikan ini cuma untuk makan hidupan seni pada pokok reput ini saja. Pokok yang mula reput di tebing sebenarnya dihuni oleh pelbagai jenis cacing laut yang menjadi makanan ikan.

 
Setelah 4 hari berlalu, ikan akan mula berkurangan. Walaupun usaha ini nampak seperti gagal, namun kejayaan selama 4 hari memungut hasil sudah cukup memberikan kepuasan kepada kami dek kerana jumlah hasil yang berjaya dinaikkan adalah luar biasa sekali. Pelajaran ini memberikan kami maklumat yang cukup berharga untuk masa hadapan. Selain kehadiran spesis berharga yang begitu jarang kami perolehi, ada juga spesis baru yang mula menghuni pokok ini setelah zon waktu ikan banyak berakhir. Antaranya ikan Kerapu Bintik yang sudah lama tidak kami perolehi di kawasan tersebut. 
 

 Oleh kerana kejayaan pada tukun tersebut, kami mula mencari jalan untuk mendapatkan bahan lain yang lebih mudah dan murah untuk dijadikan tukun. Pilihan kami seterusnya adalah longkang batu bersaiz sederhana yang murah dan mudah diangkat. Walaupun melibatkan wang ringgit yang agak besar, ia lebih murah, jimat tenaga, masa dan kerja. Cuma perlu beli dan barang dihantar terus ke pengkalan.

 Walaupun nampak mudah, ia masih melibatkan beberapa kemahiran lain untuk dilepaskan ke laut. Sebagai permulaan, 50 unit longkang batu ini akan diturunkan di satu lokasi yang sesuai. Sekiranya ada masa nanti, perjalanan tukun ini akan di tulis pada artikel akan datang.