Kawasan sangkar ikan Pulau Ketam memang terkenal dengan spesis ikan Kerapu Hybrid. Saiz biasa dari 300grm hingga mencecah 10kg ada di sini. Namun begitu kebanyakan yang dibawa naik sekitar bawah 2kg. Biarlah induknya berada di situ supaya bakanya sentiasa ada dan membiak di kawasan ini dan tak perlulah anda fikir di mana rumah nya..
Ops Cari Umpan..
Anak ikan yang bermain di sekitar sangkar ini memang pelbagai jenisnya. Kitang, Pecah Periuk, Telinga Gajah, Belanak dan spesis lain yang saya sendiri pun tak tau namanya. Sisa makanan yang jatuh dari sangkar menjadikan lokasi ini strategik untuk didiami. Namun awas! Tidak semua sangkar boleh dikunjungi. Ada yang mempunyai anjing dan ada yang tidak ada anjing tetapi bot tidak dibenarkan masuk. Mungkin pernah terjadi kecurian atau masalah lain sebelum ini. Kita sebagai pemancing perlu menghormati dan menjaga peluang yang diberikan.
Ikan Kerapu di kawasan Port Klang ni memang sukar ditemui tidak seperti 10 ke 15 tahun dulu. Jika dulu kawasan reba di persisir pantai memang banyak dan mudah dipancing. Sekarang? Sesirat memenuhi lokasi.
Kalau anda nak cari spesis ini, sehari sebelum air mati, air mati dan sehari selepas air mati. Pastikan airnya jernih dengan arus perlahan dan udang hidup adalah umpan terbaik. Singgah la di mana-mana muara sungai, laluan bereba atau sauh sangkar yang cetek. Cangkuk di bahagian hujung ekor dan ukuran perambut sesuai digunakan. Jarang tak berhasil sekiranya ikan ada berhampiran..
Sekor lagi berjaya dinaikkan..
Cuba anda lihat yang ni, ada dua perambut dalam satu mulut. Ikan ini telah makan 2 umpan sekaligus. Mungkin jarang berlaku di tempat lain tetapi di sini memang biasa. Ia juga kerap berlaku pada Ikan Kerapu yang memang gemar makan apa saja di laluannya. Ada juga kes dimana ikan yang terlepas putus makan semula selang beberapa minit kemudian.
Ikan Merah sangkar yang biasa terdapat di sini biasanya cacat pada bahagian ekor dan mata.
Seharian memancing di kawasan ini memang kadangkala kurang memuaskan, namun jika terdapat hasil kasar seperti ini rasanya sudah cukup untuk melepaskan hajat memancing sepanjang minggu. Kadangkala banyak kadangkala tiada langsung. Sekiranya anda ingin berkunjung ke sini, pastikan bertanya kepada pemandu pancing anda terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan. Selamat memancing!